KUANTAN FA gagal bayar gaji pemain. Gambar kecil, Kevin Ramalingam. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam & Luqman Hakim Zubir
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jelas tidak bersedia untuk menjadi ‘pak sanggup’ bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain Kuantan FA meskipun kelab Liga Perdana terbabit tetap menuding jari ke arah pentadbir liga tempatan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, Kuantan FA tidak boleh menyalahkan pihak lain atas kesalahan sendiri dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam melangsaikan hutang gaji 24 pemain bernilai lebih RM762,000.

“Mereka yang menguruskan dan memiliki Kuantan FA, kenapa cuba alihkan tanggungjawab kepada orang lain? Jangan bagi alasan tak nak bayar, tunggakan gaji itu adalah tanggungjawab mereka,” katanya, semalam.

Kemelut tunggakan gaji pemain Kuantan FA itu berlarutan selepas Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan mendakwa mereka tidak mempunyai sumber kewangan meskipun diarahkan oleh Jawatankuasa Status untuk menyelesaikannya dalam tempoh 30 hari, minggu lalu.

Malah, beliau menganggap MFL seharusnya bertanggung jawab atas masalah itu apabila menggugurkan mereka daripada saingan Liga Malaysia pada April lalu hingga mereka tidak sempat mendapatkan penaja baru.

Menurut Kevin, alasan Wan Solihin itu adalah alasan lapuk yang kerap diulang sejak tahun lalu.

“Dalam kes Kuantan FA, kami dikecam kerana memberi banyak ruang kepada mereka untuk menyelesaikan masalah kewangan. Jadi jika kami dikatakan tak bagi ruang kepada Kuantan FA, pada saya itu hanya alasan mereka untuk lari daripada tanggungjawab. Kami juga sudah menyerahkan geran tahunan untuk membantu mereka tapi geran itu hanya dapat menampung hutang musim lalu, jadi mereka kena mencari jalan sendiri,” katanya.

Selain Kuantan FA, Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat pada 14 April lalu turut memutuskan kelab PJ Rangers perlu membayar pampasan kontrak sebanyak RM120,000 kepada pemain, Abdullah Yusoff manakala Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pula perlu melunaskan tuntutan gaji 22 pemain sejumlah RM182,000.

Mereka diberikan tempoh selama 30 hari untuk menyelesaikan semua tuntutan bagi mengelak perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:45 AM