KEADAAN kubur yang dijarah. Gambar kecil, penduduk memeriksa kawasan tanah perkuburan mereka yang dipercayai telah dijarah pihak tidak bertanggungjawab. FOTO Joshua Eric
Joshua Eric
cnews@nstp.com.my

Sri Aman: Kegiatan menceroboh dan menjarah tanah perkuburan dikesan kembali berleluasa di sebuah tanah perkuburan Kristian di Changkul, Engkilili, di sini, kelmarin, selepas kali terakhir dilaporkan berlaku kira-kira 14 tahun lalu.

Difahamkan, kejadian itu disedari selepas seorang penduduk rumah panjang berhampiran ke tanah perkuburan berkenaan untuk menziarahi kubur anggota keluarganya kira-kira jam 9 pagi, sebelum menemui tengkorak dan rangka manusia bertaburan.

Sumber berkata, gempar dengan penemuan itu, penduduk terbabit yang enggan namanya disiarkan bergegas pulang ke rumah panjangnya dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada penduduk lain sebelum menghubungi pihak berkuasa.

“Lama kejadian sebegini tidak berlaku, malah kali terakhir kegiatan itu dibongkar pada 2004. Memang tidak disangka kejadian itu boleh berulang.

“Ia perbuatan tidak bertanggungjawab dan langsung tidak menghormati si mati, begitu juga warisnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan Abdul Samat Amit ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh kubur di tanah perkuburan itu diceroboh.

“Hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan motif kejadian untuk melarikan pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas dan wang tunai yang terdapat di dalam kubur berkenaan.

“Berdasarkan modus operandi, kegiatan itu dipercayai dilakukan secara berkumpulan sejak beberapa bulan lalu berikutan keadaan di sekitar tanah perkuburan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:16 AM