KANAK-KANAK membaca al-Quran di Masjid Jamek Kem Balukhali. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jika umat Islam lain di seluruh dunia sibuk melakukan persiapan berbuka puasa di bulan Ramadan, pelarian etnik Rohingya pula bertungkus-lumus mencari laluan selamat untuk menyeberang Sungai Naf seterusnya berlindung di Bangladesh.

Apa yang menyedihkan keadaan dan situasi di kem tempat pelarian ini berlindung tidak banyak berubah serta sama seperti ketika krisis memuncak hujung tahun lalu yang mendapat perhatian dunia.

Penyelaras i-Reach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Johan Ariff Ismail berkata, secara purata 100 pelarian Rohingya menyeberangi sungai berkenaan setiap hari.

Johan berkata, biarpun terus diduga dengan pelbagai masalah termasuk bekalan makanan terhad, pelarian yang sudah berada di kem memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran disumbangkan saudara Muslim dari seluruh dunia.

“Masjid Jamek di Kem Balukhali kini dalam pembinaan. Walaupun belum siap namun bangunan itu tetap menjadi tumpuan dan digunakan etnik Rohingya untuk beribadah serta melakukan aktiviti lain.

“Baru-baru ini, kami mengedarkan 1,000 pek makanan boleh dikongsi antara 5,000 hingga 6,000 pelarian yang baru tiba di kem itu,” katanya.


KANAK-KANAK Rohingya menunjukkan bakat menulis khat. FOTO NSTP

Beliau berkata, pihaknya turut mendirikan empat lagi masjid menggunakan dana sumbangan rakyat Malaysia dan Singapura iaitu Masjid Umar, Masjid Abu Bakar, Masjid Ismaili Tajmarkola dan Masjid Usman Affan.

Menurutnya, meskipun hidup dalam kepayahan, setiap pelarian tetap istiqamah dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Bila memerhatikan persekitaran kem ini, saya berasa insaf lebih-lebih lagi bila melihat ketekunan dan kesungguhan kaum wanita yang pernah menjadi mangsa kekejaman di Maungdaw mengajar al-Quran kepada anak-anak pelarian.

“Bantuan lain yang sedang dan akan disampaikan adalah membabitkan aspek pendidikan. Kami juga sediakan bantuan berkhatan dan membina lebih banyak telaga tiub,” katanya ketika ditemui.

Bagi mereka yang ingin menyumbang, boleh layari laman web www.ireach.org.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:49 AM