BEBERAPA individu dipercayai pegawai SPRM muncul di pekarangan kediaman bekas Perdana Menteri di Taman Duta, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Kalidevi Mogan Kumarappa

cnews.nstp.com.my

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kes aliran wang dari SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagi membantu siasatan kes berkenaan, SPRM sudah menyerahkan notis memerintah kehadiran kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sumber berkata, mengikut notis berkenaan Najib perlu hadir ke pejabat SPRM pada Selasa depan bagi memberi keterangan.

Katanya, surat berkenaan diserahkan melalui lapan pegawai SPRM yang mengunjungi kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 3.50 petang tadi.

Difahamkan, lapan pegawai itu menaiki dua kereta Proton Preve berwarna perak turut membawa beberapa beg bimbit.

Semua pegawai berkenaan kemudian meninggalkan kediaman itu pada 5.40 petang.

Sebelum ini, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes membabitkan dana 2.6 bilion dan SRC International.

Malah, kertas siasatan yang berkaitan ketika itu dikembalikan kepada SPRM,l selain mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 6:07 PM