ikan lumba-lumba bermain-main di perairan Perlis.
SEKUMPULAN ikan lumba-lumba yang dirakamkan kumpulan pencinta haiwan.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


Kangar: Melihat telatah comel ikan lumba-lumba bermain bersama pengunjung adalah pengalaman yang mengujakan kerana sukar untuk dilihat daripada dekat selain dihampiri.

Bagaimanapun, kini orang ramai berpeluang melihat ikan lumba-lumba bermain di sekitar perairan Kuala Perlis kerana ketika ini, ia musim ikan terbabit keluar daripada habitat asalnya.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Perlis Ismail Ibrahim berkata, antara spesies yang sering ditemui pihaknya ialah Irrawaddy, Indo Pacific dan Bottlenose.

“Perairan Perlis dan Langkawi adalah laluan domestik yang sering dilalui spesis ikan lumba-lumba dan kami percaya, ikan ini dalam satu kumpulan yang berhijrah serta jinak.

“Namun kehadiran ikan lumba-lumba ini bukan setiap masa kerana pada bulan tertentu saja boleh dilihat dengan jelas. Malah begitu jinak hingga berani mendekati bot nelayan,” katanya dihubungi, semalam.

Menurut Ismail, ikan lumba-lumba terbabit boleh ditemui antara Februari hingga Jun setiap tahun berdasarkan pola kajian pihaknya.

“Kami masih mengkaji bagaimana spesies ikan lumba-lumba ini boleh menjadikan perairan sekitar Kuala Perlis sebagai tempat bermain.

“Ada kemungkinan perairan sekitar Kuala Perlis ini memiliki rumpai laut yang menjadi sumber makanan utamanya,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya mengingatkan nelayan dan penangkap ikan yang menggunakan bot supaya berhati-hati dengan kehadiran ikan lumba-lumba.

“Ikan lumba-lumba adalah spesis terancam dan dilindungi, jadi kita meminta nelayan yang membawa bot lebih berhati-hati kerana bimbang berlanggar dengan kumpulan ikan lumba-lumba ini.

“Jika ada nelayan yang tertangkap ikan terbabit, kita sarankan untuk melepaskannya,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi empat minit 31 saat tular di Facebook. Ia menunjukkan kumpulan pencinta haiwan menemui sekawan ikan lumba-lumba bermain di perairan Kuala Perlis.

Malah, ikan lumba-lumba terbabit yang dianggarkan berjumlah 80 ekor jinak dan seakan-akan menemani bot kumpulan terbabit ketika mereka melalui perairan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 6:22 AM