Muhammad Ekhsan (tengah, duduk) bersama pelajar di Ribath Bait At-Tholibin di Kampung Bukit Kepong, Beranang, Selangor.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


Seremban: “Usia bukanlah halangan untuk mengembangkan syiar Islam dan saya mahu masyarakat berbalik pada Al Quran dan as-Sunnah,” ujar Muhammad Ekhsan Hakim Abdul Karim, 24, yang juga pengasas Maahad Al-Quran Ibnu Sina dan Ribath Bait At-Tholibin di Kampung Bukit Kepong, Beranang, Selangor dekat sini.

Beliau berkata, biarpun berketurunan Cina dia bersyukur kerana ibunya memeluk Islam hingga melahirkannya.

“Saya mahu membuktikan pemuda Cina yang beragama Islam mampu mengembangkan agama ini dan hidup dalam tatasusila yang baik,” katanya, semalam.

Bekas pelajar Pondok Tahfiz Madrasah Al Quran di Kempas, Johor dan Madrasah Miftahul Ulum di Sri Petaling, Kuala Lumpur itu berkata, dia bercita-cita memiliki maahad tahfiz tersendiri.

Katanya, dia menubuhkan maahad tahfiz di kampungnya di Sungai Mati, Tangkak, Johor pada Jun hingga Disember tahun lalu sebelum berpindah ke Beranang, dekat sini.

“Premis sedia ada beroperasi di tapak dan rumah yang dipinjam daripada penduduk. Ia memiliki tujuh bilik yang menempatkan tujuh pelajar berusia 10 hingga 17 tahun,” katanya.

Muhammad Ekhsan berkata, maahad itu turut dikunjungi lebih 40 penduduk dan warga emas yang mempelajari ilmu Fiqah, tauhid, tasawuf, al-Quran, hafazan dan bahasa Arab secara percuma.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Open Universiti Malaysia (OUM) itu berkata, kos operasi premis itu menggunakan wang sendiri hasil undangan ceramahnya di Selangor dan negeri itu.

“Kos operasi juga ditampung menerusi yuran 17 pelajar iaitu RM350 sebulan dan kami menerima sedikit sumbangan orang ramai. Sekiranya boleh kami mahu memohon sumbangan lebih besar untuk membawa anak muda celik al-Quran,” katanya.

Katanya, pihaknya memerlukan sumbangan RM3.5 juta untuk membina maahad tahfiz dan kompleks Islam di Shah Alam, Selangor seluas 0.4 hektar.

Beliau berkata, dia dibantu pengetua dan seorang guru yang bertindak sebagai warden, dua ustaz dan seorang ustazah.

Menurutnya, sebagai pengasas dan penceramah, dia memiliki tauliah dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Orang ramai yang ingin membantu dan menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Islamic milik Maahad Al-Quran Ibnu Sina dan Ribath Bait At-Tholibin, bernombor 8603137564 atau menghubungi Muhammad Ekhsan di talian 011-51123407.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 7:31 AM