AKSI anggota TUDM menangkis serangan hendap musuh.
AHLI keluarga yang hadir memeriahkan Majlis Penganugerahan Beret Biru dan Penutup Kursus Komando TUDM.
ABDUL Mutalib (kiri) memakaikan beret biru kepada anggota TUDM Malaysia lulus ujian asas komando.
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


Kuala Langat: Seramai 33 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima penganugerahan Beret Biru Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang melayakkan mereka bergelar komando.

Semua mereka menerima Anugerah Beret Biru selepas menamatkan kursus asas komando siri 25/18 yang disampaikan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab di Batu Hampar, Bukit Jugra, Banting, di sini, semalam.

Semua penuntut yang berjaya mengikuti latihan mencabar selama 12 minggu membuktikan mereka adalah yang terbaik daripada 60 penuntut yang memohon menyertai unit elit TUDM itu.

Penuntut perlu melalui pelbagai cabaran antaranya latihan peringkat kem, jalan lasak jarak jauh 160 kilometer, modul latihan hutan serta perairan.

Latihan itu selari dengan tugas PASKAU untuk melaksanakan operasi penyusupan melalui darat, laut dan udara, selain taktik khas peperangan hutan, sabotaj serta menyelamatkan tebusan.

Terdahulu, unit elit itu turut melakukan demonstrasi yang meliputi sebahagian elemen kepakaran PASKAU kepada hadirin.

Sementara itu, penuntut terbaik, Tengku Nashahrudin Tengku Yeng, 28, berkata, beliau bersyukur apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah itu.

“Saya sudah menyimpan cita-cita untuk menjalani latihan PASKAU ketika bermula sebagai Pasukan Simpanan TUDM.

“Ketika saya dalam pasukan simpanan, saya mula aktif dengan sukan tinju dan mewakili TUDM. Saya mula kumpul kekuatan untuk memasuki PASKAU ini.

“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian. Jujur saya cakap memang perlu ada kekuatan mental dan fizikal untuk menjalani latihan yang penuh mencabar ini.

“Anugerah ini saya dedikasikan kepada keluarga dan isteri yang banyak memberi sokongan serta dorongan untuk saya menamatkan latihan yang sudah menjadi impian saya sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Abdul Mutalib turut menyampaikan sijil penghargaan bekas komando TUDM, Flait Sarjan Zaidi Salleh, 52, atas keberanian menyelamatkan seorang wanita yang cuba membunuh diri dalam kejadian pada 28 April lalu di Jambatan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 4:32 AM