ATLET baling tukul besi negara, Jackie Wong memecahkan rekod kebangsaan miliknya melakukan 66.01 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: ‘Lebih tenang’ - atlet baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong mengakui itu adalah rahsianya untuk muncul satu-satunya atlet memecahkan rekod kebangsaan selepas tiga hari Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-95 di Stadium Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Jackie, 26, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat balingan 66.01 meter untuk membaiki rekod kebangsaan miliknya pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan catatan 65.90m.

Catatan itu sekali gus menebus kembali kekecewaannya pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan lalu apabila sekadar melakukan 64.35m untuk menamatkan saingan di tempat ke-14.

"Saya tak sasarkan rekod pada kali ini dan hanya fokus pada teknik. Kali ini saya lebih tenang dan tak tergesa-gesa berbanding Sukan Komanwel. 

“Selepas kembali daripada Sukan Komanwel, jurulatih (Gu Yuen) suruh perbaiki aspek psikologi dan itu yang saya lakukan," kata penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Katanya, dia agak tertekan pada temasya di Gold Coast itu dan perubahan latihan selepas itu banyak membantunya mencipta rekod hari ini.

Jackie bagaimanapun berkata dia masih belum pasti mengenai pemilihan ke Sukan Asia namun kini ada perancangan untuk mengadakan kem latihan di Jerman selama 50 hari tidak lama lagi.

Untuk rekod, ini adalah rekod kebangsaan kali ke-12 dicipta Jackie sejak dia mengambil bahagian dalam saingan kompetitif pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 10:48 PM