KEDAI emas yang disamun lima penjenayah bersenjatakan parang dan pistol di Saujana Utama, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


Kajang: “Saya dengar jeritan sebelum melihat dua lelaki mengacu parang ke arah pekerja,” kata saksi kejadian samun di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Saujana Utama, semalam.

Dalam kejadian jam 1.36 tengah hari itu, sebanyak 10 dulang mengandungi barang kemas dianggarkan bernilai RM2 juta dilarikan lima penjenayah bersenjatakan pistol, parang dan tukul.

Saksi yang juga pekerja restoran berhampiran kedai emas itu Nur Alia Mustafa, 25, berkata ketika kejadian, dia dan rakan, Nur Ariesya Othman, 18, menjamu selera sebelum dikejutkan bunyi jeritan.

Katanya, keadaan bertukar kelam-kabut apabila seorang daripada pekerja kedai emas berkenaan melarikan diri ke arah mereka.

“Saya dan rakan terus melarikan diri ke bahagian dapur manakala pekerja lelaki itu keluar melalui pintu utama untuk melarikan diri.

“Kejadian begitu pantas, namun kami sempat melihat penjenayah terbabit memecahkan cermin ruang pameran dan membawa dulang barang kemas sebelum melarikan diri melalui pintu utama pasar raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, lima suspek memakai jaket, topi keledar berpenutup muka penuh dan bersarung tangan memasuki premis berkenaan bersenjatakan pistol, parang serta tukul.

“Ketika kejadian, ada lima kakitangan dan seorang pengawal keselamatan di dalam premis, namun tiada pelanggan,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek mengambil masa hampir dua minit menggeledah premis berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

“Semua pekerja kedai emas itu sempat melarikan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-87336580,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 3:25 AM