LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Nazura Ngah; Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Mohd Iskandar Ibrahim
cnews@nstp.com.my


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan gangguan panggilan spam diterima beberapa pemimpin politik sejak awal pagi hari ini berpunca daripada serangan siber (BOTS).

SKMM dalam satu kenyataan berkata, serangan BOTS itu dilakukan pihak tidak dikenali dari pelbagai sumber yang menyasarkan beberapa parti politik tanah air.
“SKMM menerima beberapa aduan hari ini berhubung panggilan telefon yang kemudiannya dimatikan. Gangguan ini dialami secara berterusan oleh semua parti.

“Kami menggesa pihak berkenaan supaya segera menghentikan serangan teknikal itu kerana ia mengganggu rangkaian telekomunikasi yang bukan saja menyebabkan ketidakselesaan orang ramai, malah menjejaskan keselamatan,” kata agensi itu.

Sehubungan itu SKMM menasihatkan pihak yang menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali supaya tidak menjawabnya.

“SKMM serta pengendali rangkaian telekomunikasi akan terus menyiasat dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 1:01 PM
Skip this ad x