KUMPULAN nasyid 5 Brothers ditubuhkan sejak setahun lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menggunakan bahasa isyarat dalam persembahan nasyid bagi menyampaikan dakwah kepada orang kurang upaya (OKU) terutama golongan pekak dan bisu.

Itu pendekatan digunakan lima anak muda dari kumpulan 5 Brothers yang terdiri daripada Muhammad Zaid Abdul Samat, 24, Muhamad Nasri Suratman, 24, Muhammad Syamim Jamaludin, 24, Nik Ahmad Farid Nik Shabery, 24, dan Awang Ku Mad Aiman Pengiran Mohammad Zaman, 24.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak setahun lalu itu adalah kumpulan nasyid pertama mendendangkan lagu tanpa suara dan hanya menggunakan bahasa isyarat mengikut rentak irama dan tarian sebagai medium hiburan kepada golongan istimewa terbabit.

Ketua kumpulannya, Muhammad Zaid berkata, penubuhan 5 Brothers adalah sebagai inisiatif untuk memberikan visual supaya golongan pekak dan bisu dapat memahami apa yang disampaikan di dalam lagu berkenaan selain menjadi medium untuk mereka belajar bahasa isyarat.

“Asalnya kami gunakan pendekatan ini sewaktu melakukan persembahan bagi aktiviti sukarelawan ketika menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan selepas menamatkan pengajian, kami menyertai Yayasan Faqeh dan menjadi tenaga pengajar kepada OKU yang mempunyai masalah pelajaran.

“Dari situ, kami tubuhkan kembali kumpulan ini sebagai langkah untuk menyebarkan mesej berkaitan ibadah, al-Quran dan sebagainya kepada anak istimewa ini selain dapat memberikan visual kepada OKU untuk belajar bahasa isyarat,” katanya ketika ditemui selepas membuat persembahan pada program Nur Qurani Anak Istimewa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Muhammad Zaid berkata, pembabitan mereka dalam bidang nyanyian hanya sampingan dan tidak pernah merancang untuk menjadikan persembahan nasyid sebagai kerjaya utama.

“Fokus kami sekadar membantu anak istimewa ini saja kerana kami banyak didedahkan dengan mereka sejak peringkat pengajian dan sekarang pula bekerja membantu mengajar OKU bermasalah pelajaran.

“Sekiranya ada yang mahu menjemput kami untuk membuat persembahan terutama kepada OKU, kami sedia membantu sekiranya ada masa terluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:59 AM