RUMAH sewa Mohd Syafi dipecah masuk. FOTO ihsan pembaca
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bh.com.my


LELAKI yang memecah masuk rumah di perumahan Golf Resort Tok Jembal, Kuala Nerus, Rabu lalu, hanya sempat mencuri sepaket gula pasir dan paket minuman segera.

Dalam kejadian 3.50 pagi itu, lelaki dipercayai pengawal keselamatan itu memecah masuk rumah disewa penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mangsa, Mohd Syafi, 25, yang juga anak kepada pendakwah dan tokoh akademik terkenal negara, Mohd Ridhuan Tee Abdullah tidur berseorangan manakala rakan serumahnya pulang ke kampung.

Penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Pembuatan Teknologi Kejuruteraan itu berkata, dia masuk tidur kira-kira 2 pagi selepas selesai menyiapkan tugasan universiti, sebelum menyedari kakinya dipegang seseorang jam 3.50 pagi.

Dia mendakwa, dalam keadaan separuh sedar, dia membuka mata sebelum terkejut melihat susuk tubuh memakai jaket dan topi keledar sedang cuba mengikat kakinya menggunakan kabel.

Katanya, dalam keadaan cemas selepas menyedari rumahnya dipecah masuk, dia berpura-pura tidur sebelum menggerakkan badannya bagi mengelak kakinya diikat.

“Selepas gagal mengikat kaki kerana saya bergerak, penjenayah itu menyalakan lampu suluh pada telefon bimbitnya dan menyelongkar bilik saya.

“Dia cuba mengambil telefon bimbit yang saya letakkan di tepi bantal tetapi saya berpura-pura mengalih posisi tidur dan menutup telefon itu dengan tangan menyebabkan penjenayah itu tidak dapat mengambilnya.

“Dalam keadaan cemas saya berlakon seperti sedang tidur sehinggalah dia keluar daripada bilik tanpa mengambil apa-apa barangan berharga dan mengunci pintu bilik saya dari luar,” katanya.

Mohd Syafi berkata, sebaik penjenayah keluar daripada biliknya, dia segera menghubungi polis dan sebaik pihak berkuasa tiba, pemeriksaan mendapati hanya sepaket gula pasir dan sepaket kecil minuman tiga dalam satu serta satu pisau pemotong daging yang hilang.

“Kami bersama beberapa penduduk perumahan itu kemudian cuba mencari lelaki itu di sekeliling rumah kerana kawasan perumahan ini berpagar, justeru penjenayah hanya boleh keluar melalui pintu utama yang menempatkan pengawal keselamatan.

“Selepas puas mencari kami akhirnya ke pondok pengawal keselamatan dan bertanya kepada dua pengawal keselamatan mengenai lelaki itu namun mereka mendakwa tidak tahu dan tidak nampak sesiapa keluar masuk di situ,” katanya.

Pelik dengan jawapan itu, polis menyelongkar beg pengawal keselamatan berkenaan sebelum menemui sepaket gula pasir dan minuman tiga dalam satu seperti yang hilang di rumah sewanya di dalam beg seorang daripada mereka.

“Ketika ditanya, pengawal keselamatan itu mendakwa ia dihadiahkan oleh penduduk perumahan itu kepada mereka, namun selepas diasak dia akhirnya mengaku mencuri dari rumah sewa saya,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 6:08 PM