Ladang nanas Pusat Rawatan dan Pemulihan Jelebu, Negeri Sembilan.
NANAS jenis Yankee antara yang ditanam di CCRC.
PENGHUNI CCRC menjalankan kerja pengasingan benih nenas di ladang.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


Jelebu: Tidak hanya tertumpu untuk memulihkan penghuninya, Pusat Rawatan dan Pemulihan Narkotik (CCRC) Jelebu di sini, mengambil tanggungjawab melaksanakan projek tanaman nanas bagi mengimbangi ekosistem alam.

Pengarahnya, Suhaimi Abu Bakar berkata, projek itu dilaksanakan sejak 2013 yang selain bertujuan memanfaatkan hasil tanah, ia juga untuk memulihkan alam sekitar.

“Kami melihat banyak projek pembangunan di sana sini namun pada masa sama perlu memberikan tumpuan terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Sehubungan itu, program menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dijalankan, bak kata orang berbudi pada tanah ada manfaat, ini yang dilakukan,” katanya.

Suhaimi berkata, projek dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu menggunakan khidmat 30 pelatih pada satu-satu masa.

“Kami mengusahakan 35 ekar tanah (14 hektar) di kawasan ini untuk mendapat hasil selain mahu menampakkan keindahan alam.

“Pada masa sama tanah dapat disuburkan bagi mengekalkan ekosistem,” katanya.

Beliau berkata, tanaman itu menggunakan benih MD2, N36, Yankee, Morris, Sarawak dan Kristal Honey.

Katanya, modal awal pelaksanaan projek membelanjakan RM300,000 dan ia diusahakan semua pelatih bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada waktu tertentu.

“Ini antara usaha kami memulihkan pelatih yang terbabit penyalahgunaan dadah.

“Kami mahu mengajar mereka supaya berbudi pada tanah dan sayangi alam sekitar,” katanya memberitahu semua pelatih dibayar elaun.

Katanya, nanas yang berbuah ada yang dijual selain dihasilkan produk TitiGold iaitu kek serta kuih tart.

Kata beliau, pihaknya pada masa sama menjalankan aktiviti penanaman cili dan nangka madu untuk menyuburkan tanah.

Sementara itu, Ketua Unit Latihan dan Kemahiran Vokasional pusat itu Md Fauzi Tali berkata, semua pelatih diterapkan nilai menyayangi alam sekitar sebaik dimasukkan ke pusat berkenaan.

“Kaedah yang kami gunakan untuk membebaskan pelatih daripada dadah adalah mendekatkan mereka pada tanah dan alam semulajadi.

“Antaranya kerja penanaman nanas dan hasil pertanian lain,” katanya.

Menurutnya, semua hasil berkenaan dijual kepada pembekal, dihasilkan produk dan dipasarkan menerusi fiesta NBOS yang dianjurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:55 AM