ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga lelaki berusia 20-an, manakala tiga mangsa lain cedera selepas dua kenderaan terbabit kemalangan berdekatan Johor Premium Oulets (JPO) di Lebuhraya Senai, jam 11 pagi ini. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


TIGA maut, manakala tiga yang lain cedera selepas dua kenderaan terbabit kemalangan dalam kejadian di Kilometer 29.9 Lebuhraya Linkedua, Senai, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian pada 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Assel Habel Akbar, 21, Muhammad Safuan Sazali, 23, dan Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan.

Katanya, kemalangan turut menyebabkan Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24, cedera dan dirawat di Hospital Kulai untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aseel Habel gagal dikawal menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi jalan.

"Keadaan itu mengakibatkan kenderaan itu berpusing beberapa kali menyebabkan pemandu dan Muhammad Safuan yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar.

"Kejadian mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dan meninggal dunia akibat parah di badan dan kepala," katanya mengesahkan kemalangan maut terbabit.

Dzulkhairi berkata, pada masa sama Perodua Bezza yang mengekori Honda Civic terbabit, gagal mengawal kenderaan itu lalu terbabas ke kiri jalan dan berpusing serta terbalik ke dalam longkang di kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu pemandunya, Mohamad Ridzuan tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian berlaku ketika hujan, selain keadaan persekitaran agak gelap.

"Keadaan jalan adalah lurus yang mempunyai jalan dua hala dan setiap dan setiap hala mempunyai dua lorong dengan setiap lorong dipisahkan garisan putih putus-putus pembahagi jalan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 4:09 PM