GAMBAR hiasan
Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut selepas dilibas dengan pisau pemotong daging oleh isterinya sendiri di rumah mereka di Sungai Makau, Hulu Langat, Kajang, semalam.

Ketika kejadian antara 11 hingga 12 tengah malam itu, mangsa tempatan berusia 40-an dilaporkan bergaduh sebelum berlaku pergelutan dengan isterinya yang juga seorang warga Vietnam, berusia lewat 30-an, akibat salah faham.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika pergelutan, isteri mangsa yang turut dipercayai dipukul mengambil pisau dan melibas suaminya.

"Akibat libasan itu, lelaki terbabit mengalami kecederaan serius serta dalam keadaan berlumuran darah dibawa ke Balai Polis Batu 14, Hulu Langat bagi mendapatkan bantuan oleh wanita yang juga jiran mangsa.

"Pihak polis kemudian menghubungi ambulans untuk rawatan lanjut namun dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di balai polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati kesan luka kira-kira 7 sentimeter pada tubuh mangsa, dipercayai akibat libasan pisau.

Dzaffir berkata, berdasarkan maklumat daripada beberapa saksi serta beberapa jiran mangsa lain, polis kemudian menahan isteri mangsa di rumahnya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 3:49 PM