ANGGOTA bomba mengangkat mangsa kemalangan kereta terbabas yang dinaiki tiga beranak yang terhumban ke dalam gaung di Kilometer 27, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik- Kupang malam tadi. -Foto IHSAN BOMBA
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my

DUA maut selepas kereta dinaiki tiga beranak terhumban ke dalam gaung dalam kemalangan di Kilometer 27, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik- Kupang dekat Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Md Zahar Md Ali, 38,

yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anaknya Muhammad Faris, 7, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi anak Md Zahar iaitu Muhammad Firdaus, 9, parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, sebelum kejadian, tiga beranak itu menaiki kereta jenis Proton Exora dari arah Gerik ke Kupang.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit hilang kawalan sebaik tiba di kawasan menuruni bukit, dipercayai akibat dipandu laju.

Katanya, akibatnya, kereta berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter.

“Seorang saksi yang melalui jalan itu ternampak mangsa yang parah dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan menyebabkan dia berpatah balik untuk memberikan bantuan.

“Dia (saksi) dimaklumkan oleh mangsa yang bapa dan adiknya telah terjatuh ke dalam gaung sebelum dia menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, mayat Muhammad Faris berjaya dibawa keluar dari gaung, jam 10.25 malam, manakala mayat bapanya sejam selepas itu.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik dan bedah siasat akan diadakan pagi ini untuk mengetahui punca kejadian.

Beliau berkata, hasil percakapan dengan isteri mangsa mendapati suami serta dua anaknya itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Baling, Kedah untuk menziarahi ibu bapanya yang tidak sihat.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 8:17 AM