ART Lane di Pasar Seni boleh memuatkan 15 pelukis dalam satu-satu masa. FOTO Nik Hariff Hassan
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seni lukisan hasil sentuhan pelukis jalanan yang dilihat semakin tenggelam serta kurang mendapat sambutan daripada masyarakat di negara ini sebenarnya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Ia mampu membuatkan pelancong asing terpegun serta terpesona dengan bakat dimiliki pelukis tempatan.

Boleh dikatakan ada antara pelancong asing yang datang ke negara ini semata-mata mahu mendapatkan lukisan daripada pelukis tempatan berikutan hasil kerjanya yang halus selain bermutu tinggi.

Inisiatif pihak pengurusan Pasar Seni dengan menyediakan Art Lane di sekitar bangunan berkenaan dengan menghimpunkan sekurang-kurangnya 10 pelukis jalanan seakan memberi nafas baru kepada pusat seni itu untuk kembali menjadi tumpuan pelancong.


PELANCONG diberi peluang melukis pada silk screen batik dengan dikenakan bayaran RM15. FOTO Nik Hariff Hassan

Sejak Art Lane diwujudkan di kawasan berkenaan, ribuan pelancong asing mengunjungi gerai lukisan milik pelukis tempatan untuk melihat sendiri karya mereka secara dekat.

Antara pelukis tempatan yang membuka gerai di kawasan berkenaan ialah Abdul Hadi Ahmad, 49, yang mempunyai kepakaran menghasilkan potret sejak puluhan tahun lalu.

Abdul Hadi berkata, setakat ini dia sudah menghasilkan lebih 10,000 lukisan potret dengan kebanyakannya ditempah pemimpin negara termasuk kerabat diraja.

“Kebanyakan pengunjung di Art Lane terdiri daripada pelancong asing dengan kebanyakan kagum dengan kebolehan pelukis tempatan menghasilkan lukisan yang bermutu tinggi.

“Saya juga menerima tempahan daripada beberapa individu tertentu yang mahu menghadiahkan lukisan potret kepada beberapa pemimpin luar negara,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.


ABDUL Hadi menghasilkan potret di Pasar Seni. FOTO Nik Hariff Hassan

Selain itu, satu-satunya pelukis cat air di Art Lane dikenali sebagai Jamal Tumiran, 51, berkata, dia sanggup meninggalkan pekerjaan lama sebagai pereka grafik dengan pendapatan kira-kira RM10,000 demi meneruskan minat sebagai pelukis jalanan.

Pengorbanan itu ternyata berbaloi apabila dia kini mula dikenali dalam kalangan pelancongan asing yang akan berkunjung ke Art Lane setiap tahun untuk mendapatkan lukisan daripadanya.

“Saya sudah menghasilkan hampir 1,000 lukisan cat air dengan kebanyakan ditempah pelancong asing dari serata dunia.

“Lukisan cat air ini sebenarnya bukan mudah untuk dihasilkan malah memerlukan ketelitian dan kesabaran bagi mengurangkan kesilapan selain tenang serta tidak terburu-buru dalam menghasilkan lukisan berkualiti tinggi,” katanya.

Jamal berkata, kawasan Art Lane bagaikan galeri pameran kepada orang ramai apabila mereka berpeluang melihat dengan lebih dekat penghasilan lukisan menerusi pelbagai medium yang disediakan oleh pelukis.

“Setiap pelukis mempunyai teknik dan gaya tersendiri dalam menghasilkan lukisan mereka dan di kawasan ini, orang ramai turut berpeluang belajar dan melihat hasil kreativiti mereka,” katanya.


JAMAL melukis buah durian yang ditempah pelanggan. FOTO Nik Hariff Hassan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 5:35 AM