ISMAIL Zakaria. FOTO Ramdzan Masiam
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tiada apa yang mampu diluahkan bekas jurulatih dan pemain Kuantan FA selain ucapan terima kasih selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia untuk membantu membayar tunggakan gaji mereka bersama skuad terbabit.

MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam semalam menjelaskan pihaknya akan menggunakan baki geran tahunan milik Kuantan FA untuk membantu jurulatih dan pemain yang berdepan tunggakan gaji sebelum skuad berkenaan disingkirkan daripada Liga Perdana, Sabtu lalu.

Bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban bekas pemainnya yang jelas terganggu kerana ‘bekerja tanpa gaji’ selama tiga bulan.

“Kami memang mengharapkan bantuan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL kerana kalau nak tunggu Kuantan FA, saya fikir makan masa. Mungkin setahun, mungkin dua tahun atau bertahun-tahun dan mungkin juga tidak dapat langsung.

“Jika FAM dapat bantu dengan menggunakan baki geran yang ada, Alhamdulillah kerana itu yang kami harapkan. Pemain pun tidak bergaji selama tiga bulan, jadi ia sedikit sebanyak boleh menampung perbelanjaan mereka sementara mendapat gaji bersama pasukan baharu.

“Malah, ada pemain yang masih belum mendapatkan pasukan baru. Jadi bila MFL umum nak bantu kami rasa lega. Mungkin tidak dapat selesaikan sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami,” kata Ismail.

Sukan NSTP kelmarin melaporkan MFL bercadang menggunakan baki geran tahunan Kuantan FA berjumlah RM300,000 untuk membantu bekas pemain The Seagulls.

Baki geran berkenaan adalah jumlah ‘diskaun’ denda yang dikenakan ke atas Kuantan FA kerana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan musim ini.

Sementara itu, bekas pemain tengah Kuantan FA, Arif Shaqirin Suhaimi yang kini sudah mengikat kontrak dua tahun bersama PKNP FC turut senada dengan Ismail.

“Memang lega sikit sebab tiga bulan beraksi tapi tidak dapat gaji. Terima kasih kepada MFL dan FAM, malah saya pun mahu lupakan kisah perit bersama Kuantan FA dan memulakan buku baru bersama PKNP.

“Saya kini menyertai skuad Piala Presiden PKNP tapi tetap berpeluang diserapkan ke skuad Liga Super pada jendela perpindahan bulan depan jika berjaya menarik minat jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 3:28 AM