Amir Abd Hamid
amir_hamid@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Secara fizikal dia kelihatan sihat sama seperti rakan sebaya yang lain, namun seorang kanak-kanak lelaki yang kini berusia enam tahun amat mengharapkan penderma bagi mendapatkan buah pinggang baru untuk menyambung hayatnya.

Irwan Hasriq Izwan Hafiz, dilahirkan dengan buah pinggang pada sebelah kiri sahaja namun organ itu yang kini berfungsi pada tahap 15 peratus meletakkan nyawa kanak-kanak terbabit dalam bahaya.

Lebih merisaukan ibunya Nur Hanis Ahmad Jais, 25, apabila doktor memaklumkan nyawa anak sulung daripada tiga beradik itu berada pada tahap bahaya.

Nur Hanis yang tidak bekerja menjelaskan masalah sama menyebabkan tumbesaran anaknya yang manja dengan panggilan Abam, dilahirkan pada 16 November 2012 secara pembedahan berikutan sudah melebihi tempoh jangkaan bersalin, berisiko terbantut.


NUR Hanis bersama Irwan Hasriq ketika ditemui di pekarangan Institut Pediatrik, HKL. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Sekarang perkembangan tulang Irwan Hasriq terbantut akibat beratnya kini bawah 15 kilogram dan semakin menyusut. Selepas dilahirkan, Abam ditempatkan di wad penjagaan intensif bayi (NICU) namun dibenarkan pulang kerana doktor tidak mengesan sebarang masalah.

“Pada usia 10 bulan Abam kerap demam dan saya bawa dia ke klinik untuk pemeriksaan. Selepas sampel darah diambil saya diminta rujuk Abam ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Semasa di HKL baru doktor sahkan Abam dilahirkan dengan sebelah buah pinggang sahaja atau single function kidney,” katanya, ketika ditemui di Institut Pediatrik HKL, di sini, semalam.

Terdahulu, Nur Hanis yang menetap di Kampung Sungai Serdang, Jalan Kapar, Klang, ke Institut Pediatrik HKL, untuk mengambil ubat-ubatan bagi kegunaan anak sulungnya.

Wanita itu memberitahu, dia menggunakan kemudahan kereta api dan monorel untuk ke HKL berikutan suaminya Izwan Hafiz Azlan, 27, bekerja sebagai jurukimpal tidak memiliki kenderaan sendiri.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank 4778033907 atas nama Izwan Hafiz Azlan.

Ibu kepada dua lagi anak iaitu Nur Izleen Nafisha, 5, dan Nur Iman Halish, 2, itu berkata, doktor memaklumkan buah pinggang Abam, sudah dijangkiti kuman.


IRWAN Hasriq merayu penderma buah pinggang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 4:59 AM