Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengalaman melihat budaya dan persekitaran puluhan negara yang pernah dilawati memberi inspirasi kepada seorang lelaki untuk menghasilkan terrarium yang menggunakan balang kaca, akuarium dan botol untuk menghasilkan perhiasan unik serta menarik.

Malah, kemahiran dan kebolehan dimiliki Rosli Mohd Nordin untuk menghasilkan terrarium turut dikagumi masyarakat luar negara apabila dia menerima maklum balas positif daripada orang ramai selepas memuatkan gambar di Facebook dan Instagram.

Rosli berkata, pada peringkat awal menghasilkan terrarium bukanlah mudah, malah dia terpaksa berguru dengan beberapa individu luar negara, selain menghadiri kelas dalam memperkemaskan lagi kemahiran dan menguasai teknik tertentu.


ROSLI menunjukkan peralatan yang digunakan untuk membuat terrarium. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

“Terrarium adalah perkara baru di negara ini, malah untuk mencari beberapa barangan seperti lumut, rumput, pokok, arang dan batu juga sukar serta saya terpaksa ke Bangkok, Thailand bagi mendapatkannya.

“Barangan berkenaan adalah asas kepada penghasilan terrarium dan setakat ini tiada kedai yang menjualnya dan jika ada, kemungkinan harga agak mahal,” katanya yang mula menghasilkan terrarium sejak awal tahun lalu.

Rosli yang bekerja sebagai penolong pengurus sebuah stesen radio berkata, dia menghasilkan terrarium kerana minat semata-mata dan tidak terlintas untuk dijual kepada umum.

“Namun apabila saya memuat naik gambar terrarium di Facebook dan Instagram, orang ramai mula bertanya dan ada antara mereka turut menempah untuk dijadikan sebagai perhiasan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, sudah puluhan terrarium dihasilkan sebagai koleksi peribadi.

“Setakat ini, saya menghasilkan terrarium lebih kepada minat dan hobi untuk mengisi masa lapang kerana penghasilannya melatih kita untuk lebih bersabar, teliti dan menghargai alam sekitar,” katanya.


ANTARA hiasan terrarium ciptaan Rosli. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 4:59 AM