Nora Danish. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Sebaik melahirkan anak kedua daripada perkahwinan kedua, pelakon dan selebriti popular Nora Danish menyampaikan berita gembira apabila dia bakal kembali menghangatkan industri seni tempatan dengan membintangi drama bersiri.

Pada waktu sama, Nora turut mengembangkan lagi sayapnya dalam dunia perniagaan apabila menubuhkan salun Karva yang diusahakan bersama kakaknya Cathy Danish dan rakan kongsi dari Singapura.

Seperti diketahui umum, pelakon jelita yang mula dikenali menerusi sitkom Puteri itu turut mengusahakan restoran dan menceburi bidang fesyen.

Pastinya semua komitmen tiu akan membuatkan masanya bersama keluarga tersayang semakin kurang. Tambahan pula dia baru saja melahirkan Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney yang kini berusia tiga bulan.

Ditemui pada majlis pelancaran salun Karva di Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nora bagaimanapun tidak risau mengenai perkara itu memandangkan suaminya, Nedim Nazri banyak membantu.

“Suami adalah tulang belakang saya dan banyak membantu menguruskan rumah tangga. Dia bapa yang boleh diharapkan, sehinggakan menguruskan anak pun dia tolong melakukannya bersama-sama,” katanya.

Jelas Nora, Nedim selalu memberikan galakan kepadanya untuk terus aktif sama ada dalam bidang lakonan mahupun perniagaan.

“Saya akan kembali ke lokasi penggambaran selepas Aidilfitri nanti manakala salun dibuka berhampiran dengan rumah. Jadi, mudah untuk saya memantau,” katanya.

Berkongsi pengalamannya apabila kembali menjaga anak kecil bersama Nedim, Nora berkata tidak dinafikan pada peringkat awal mereka ada bertelagah pendapat.

“Maklum saja, anak saya hasil perkahwinan dahulu, Rayqal kini sudah sembilan tahun sementara anak suami, Mohamed Nedrin pula enam tahun. Bayangkan lama kami tidak ada anak kecil. Apabila Ney Ney hadir dalam hidup kami, awalnya terasa kekok,” katanya.

Bercerita mengenai situasi panik yang dihadapi, Nora berkata apabila Ney Ney demam pada awal kelahiran, dia dan suami menghubungi ramai orang untuk bertanya apa yang perlu dilakukan.

Berbeza dengan artis lain, Nora dan suami mengambil pendekatan untuk terus berkongsi detik manis bersama peminat dengan memuat naik wajah Ney Ney.

Dalam pada itu ramai juga peminat yang mewujudkan akaun khas untuk memanjangkan detik manis keluarga bahagia itu di laman Instagram. Mungkinkah perkara itu akan membuatkan Nora dan Nedim mengambil keputusan untuk mewujudkan akaun Ney Ney?


NADIM banyak bantu uruskan anak. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Nora berkata dia tidak pernah terfikir untuk melakukan perkara itu kerana lebih selesa membiarkan anak membuat pilihan sendiri.

“Biarlah anak saya memutuskan sendiri sama ada mahu mempunyai akaun media sosial apabila mereka besar dan cukup matang memikir baik atau tidak,” katanya.

Mengenai keputusan kembali berlakon selepas sekian lama tidak muncul di kaca TV, Nora berasakan sekarang adalah waktu terbaik untuknya melaksanakan perkara itu.

“Sebelum ini saya lebih banyak terbabit dengan projek filem sama ada di sini mahupun di Indonesia. Jadi, tahun ini saya berasakan sudah tiba masanya kembali beraksi di TV,” katanya.

Antara sebab dia bersetuju kembali membintangi drama adalah kerana mahu mengubat rindu peminat yang sering bertanya.

“Setiap kali terserempak peminat akan tanya adakah saya sudah bersara sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku kerana filem lakonan ada saja ditayangkan di pawagam.

“Bagaimanapun, pengikut saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan usia. Ada segelintir yang sudah berusia tidak lagi menjengah pawagam.

“Mereka lebih selesa menonton di rumah dan mungkin kerana itu timbul andaian saya sudah berhenti berlakon,” katanya.

Menurut Nora, meski sudah bersedia dia tetap akan meneliti watak yang ditawarkan. Andai ia menarik dan mampu memberikan impak kepada kariernya, pasti diterima dengan hati terbuka.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan salun Karva, kata Nora dia sudah mengenali pemilik salun itu sendiri, Rozza Ramli agak lama. Malah Karva sendiri sebelum ini sudah ada tiga cawangan di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 2:47 AM