Didie memeluk Seth iaitu cucu sulung yang dilahirkan oleh anak sulungnya, Dhaniyah. FOTO Instagram Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PENGALAMAN melahirkan enam anak memberi kelebihan kepada pelakon dan pengacara, Didie Alias membantu menyambut kelahiran cucu sulungnya, Muhammad Seth Shahriman.

Anak sulung Didie, Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan, 25 selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.6 kilogram secara normal pada jam 3.18 petang, 14 April lalu di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Menceritakan pengalaman membantu Dhaniyah bersalin, kata Didie atau Fadzilah Mohd @ Ali, sebaik saja kontraksi berlaku sehari sebelum bersalin, dia bergegas ke hospital biarpun ada komitmen di lokasi pengambaran drama.

“Ketika itu, saya sibuk di lokasi drama arahan Rashid Sibir tetapi terus ke hospital serta merta,” katanya kepada Harian Metro.

Didie berkata, proses Dhaniyah melahirkan Seth amat mudah biarpun perasaan panik dialaminya serta tidak lalu makan menimbulkan sedikit kebimbangan.

“Sampai di hospital keadaan Dhaniyah merisaukan saya kerana takut andai badan lemah, dia tidak dapat meneran dengan baik kerana membahayakan bayi,” katanya.

Jelas Didie lagi, pengalaman melahirkan enam anak banyak membantunya mengawasi Dhaniyah.

“Sebaik saja kontraksi, bayi berada dalam kedudukan betul dan bukaan menjadi 8cm saya terus memberitahu doktor. Alhamdulillah, bayi dan ibu selamat.

“Walaupun hanya tidur dua jam saja tetapi saya adalah ibu dan nenek paling gembira. Saya bersyukur atas rezeki diberikan oleh Allah. Apatah lagi dalam usia mencecah 46 sudah bergelar Opah,” katanya.

Dalam situasi kelam kabut itu, dia sempat menyuruh Rashid mengambil pelakon lain menggantikannya kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.

Namun Rashid faham.

Selesai Dhaniyah melahirkan, pelakon popular menerusi filem Kanta Serigala itu kembali ke lokasi pada malam hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:24 PM