Anak Nora Danish dikecam netizen membuatkannya menangis. FOTo IG Nora Danish
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELAKON popular Nora Danish akui menangis seharian apabila membaca komen berbaur hinaan netizen membabitkan wajah anaknya, Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney.

Beberapa netizen memberi komen negatif dan tidak sepatutnya terhadap Ney Ney selepas pelakon mencipta nama menerusi sitkom Puteri itu berkongsi gambar anak lelakinya itu yang kini berusia dua bulan di laman sosial.

Nora berkata, sebelum ini, dia bersimpati membaca kutukan dan hinaan netizan terhadap anak selebriti lain.

Malah, kutukan dan hinaan pihak tidak bertanggungjawab terhadap anak selebriti lain membuatkan hatinya berbisik ‘mengapa ada manusia tergamak berbuat demikian’.

"Bagaimanapun, apabila perkara itu berlaku kepada anak saya sendiri, saya sedih dan kecewa.

“Sanggup mereka menghina bayi tiada salah dan dosa. Bukankah setiap kejadian Allah SWT itu sangat sempurna," kata Nora kepada Harian Metro.

Kata Nora lagi, walaupun suaminya Nedim Nazri cuba memujuk dan menasihati tidak perlu memikirkan kutukan juga hinaan netizen terbabit tetapi dia tetap tidak dapat menahan perasaan sedih dan hiba.

"Selepas mengalaminya, saya berasakan sudah tiba masanya sikap membuli di ruang siber dihentikan. Saya menyokong kempen hentikan buli siber sedang dilakukan teman-teman selebriti," katanya.

Nora menegaskan ada antara berita mengenai komen dan kutukan terhadap Ney Ney turut disiarkan portal hiburan dan blog.

"Saya tahu niat mereka baik dengan menegur sikap buruk beberapa netizen yang mengutuk dan menghina.

"Bagaimanapun ia tidak memberi apa-apa kesan sebaliknya perkara itu menjadi bertambah buruk apabila lebih ramai lagi melakukan perkara sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 6:39 PM