LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


WANITA mengandung terselamat selepas terjatuh ke atas landasan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Damai, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.48 pagi, wanita, 26, itu sedang menunggu tren untuk ke tempat kerja, namun tiba-tiba terjatuh ke atas landasan sebaik tren menghampiri platform.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Khairani Mohamed berkata, wanita berkenaan terselamat kerana sistem keselamatan dikenali sebagai Sistem Keselamatan Penumpang (PIES) bertindak memberhentikan tren terbabit.

“Polis bantuan yang berada di lokasi kejadian bertindak mengarahkan semua penumpang untuk mengosongkan platform bagi menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa.

“Anggota bomba dan pasukan perubatan mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk melakukan rawatan kecemasan sebelum membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairani berkata, sistem PIES yang dipasang di setiap platform berfungsi untuk memberhentikan tren yang sedang menghampiri platform secara serta-merta apabila ia mengesan ada objek yang terjatuh ke atas landasan.

“Sistem PIES berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi tujuh kilogram ke atas plat PIES. PIES ini dipasang di semua platform di stesen LRT Laluan Kelana Jaya kecuali di stesen bawah tanah,” katanya.

Menurutnya, bagi LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, kerja-kerja pemasangan PIES sedang dijalankan dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

“Kami amat bersyukur kerana sistem keselamatan yang terdapat pada tren dan stesen LRT berfungsi dengan baik sekali.

“Sistem PIES ini direka dan dipasang di kebanyakan sistem rel bandar di serata dunia bagi mengesan sebarang objek atau gangguan pada sistem trek,” katanya.

Katanya, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya pada 8.15 pagi selepas kira-kira 25 minit mengalami kelewatan jadual perjalanan.

Berita berkaitan

Pengsan, terjatuh ke landasan LRT

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 12:29 PM