HUBUNGAN Pogba dengan Mourinho tidak begitu baik. FOTO EPA-EFE
Agensi

Manchester: Paul Pogba ditawarkan kepada Paris Saint-Germain (PSG) oleh ejennya, Mino Raiola ketika pemain yang memecah rekod Manchester United itu menilai semua pilihan yang ada untuk menentukan masa depannya.

Sportsmail mendedahkan, Jose Mourinho kini bersedia melepaskan Pogba pada musim panas ini, hanya selepas dua tahun pemain Perancis itu kembali Old Trafford dari Juventus dengan harga 89 juta pound (RM495.48 juta).

Pogba bergelut untuk memenuhi jangkaan yang cukup tinggi, sedangkan hubungannya dengan Mourinho mula merudum sejak beberapa bulan lalu.

Pep Guardiola pula mendakwa Raiola pernah menawarkan Pogba kepada Manchester City pada Januari lalu dan seperti dijangka, ejen kelahiran Itali itu turut menghubungi PSG untuk memastikan pelanggannya sentiasa berada di kelab utama Eropah menjelang musim panas ini.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan adakah kelab mewah dari Perancis itu akan bersetuju mengikat Pogba, kerana mereka sendiri berdepan siasatan oleh UEFA berikutan salah laku ketika mendapatkan Neymar dan Kylian Mbappe dengan nilai keseluruhan 365 juta pound (RM2 bilion).

Real Madrid dan Barcelona juga menjadi dua lagi kelab pilihan, tetapi difahamkan gergasi Sepanyol itu kurang berminat dengan Pogba. Jadi, kini hanya tinggal City, Chelsea dan kemungkinan juga Juventus yang sanggup menerima Pogba.

Pemain berusia 25 tahun ini menerima gaji minggu 200,000 pound (RM1.1 juta) seminggu termasuk hak penampilan, dan layak menerima bonus 3.46 juta pound (RM19.26 juta) jika kekal sehingga musim panas ini serta 1.875 juta pound (RM10.4 juta) jika United layak ke Liga Juara-Juara.

Raiola yang meraih 41.39 juta pound (RM230.4 juta) hasil perpindahan Pogba ke United tidak menafikan pernah menawarkan pemain ini kepada City, seperti yang didakwa Guardiola.

“Saya tidak pernah bercakap dengannya,” kata Raiola awal bulan ini. “Saya bukan menawarkan pemain kepadanya, tapi kepada Manchester City, sebuah kelab yang menakjubkan dengan pengurus yang mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 3:19 AM