MAHATHIR Mohamed. FOTO arkib NSTP
Muhammad Mustakim Ramli dan Hamzah Osman
cnews@nstp.com.my


TEKA-TEKI kawasan yang bakal ditandingi Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akhirnya terjawab apabila beliau memilih Parlimen Langkawi.

Pengumuman untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

di hadapan kira-kira 2,000 orang pada perhimpunan pembangkang di Padang Mat Sirat, Langkawi malam tadi.

Turut diumumkan, Timbalan Presiden PPBM

Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan calon Parlimen Jerlun.

Calon lain yang turut diumum adalah Johari Bulat bagi kerusi DUN Ayer Hangat manakala bagi calon DUN Kuah pula, Firdaus Ahmad.

Turut hadir pada pengumuman itu, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada PRU-13 lalu, Parlimen Langkawi dimenangi oleh Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Beliau yang juga ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein, dengan majoriti 11,861 undi pada pilihan raya umum lima tahun lalu.

Kerusi DUN Ayer Hangat disandang oleh Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dari BN yang mengalahkan calon PAS, Zubir Ahmad dengan majoriti 5,311 undi pada pilihan raya umum lalu.

Manakala di DUN Kuah pula, calon BN, Nor Saidi Nanyan telah menewaskan calon PKR, Datuk Ahmad Kasim dengan majoriti 6,371 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 11:35 PM