Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


PETAH berbahasa Arab dan mampu menghafaz al-Quran dengan baik memberi kelebihan kepada Na’ilah Rawyan Amin Mohamed Nazrul Amin, 4, untuk menjuarai Pertandingan Hafazan al-Quran peringkat sekolah-sekolah di Qatar.

Walaupun bersaing dengan 1,000 peserta dari pelbagai negara Arab, namun Na’ilah membuktikan keupayaannya tidak kurang hebat apabila muncul juara bagi kategori lima hingga lapan tahun.

Menurut ibunya, Karlina Zakaria, 32, sejak bersekolah tadika di Markaz al Henzab Holy Quran Centre, Qatar, anaknya dihantar menyertai pertandingan hafazan al-Quran pada November 2017 dan 10 Mac lalu.

“Na’ilah muncul juara untuk kedua-dua pertandingan itu. Di Qatar, banyak pertandingan musabaqah diadakan di antara sekolah mengikut kategori dan peringkat usia.

“Untuk Na’ilah, disebabkan tiada pertandingan di bawah usia empat tahun, jadi saya terpaksa memasukkan namanya untuk kategori lima tahun ke atas.

“Alhamdulillah, dia mampu melakukan dengan baik pada saat peserta lebih berusia gugup, menangis dan ada yang berlari turun ke bawah disebabkan tidak mahu meneruskan pembacaan,” katanya yang menetap di Qatar sejak 2012 selepas melangsungkan perkahwinan dengan Mohamed Nazrul, 37, yang bertugas di negara berkenaan.

Karlina berkata, di Qatar, ibu bapa bebas memilih bentuk pendidikan anak mereka.

Menurutnya, terdapat banyak sekolah antarabangsa dengan sistem pembelajaran moden ala Barat di negara terbabit.

“Sejak Na’ilah berusia setahun setengah, saya sudah membuat penyelidikan mengenai sekolah yang menyediakan pendidikan berasaskan al-Quran.

“Sepatutnya dia dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak dulu sebelum usia mencecah lima tahun, tetapi saya lebih tertarik sekiranya Na’ilah mendalami ilmu al-Quran berbanding pembelajaran moden di taska.

“Lama juga saya mencari sehingga bertemu tadikanya sekarang. Na’ilah satu-satunya pelajar Islam dari Asia Tenggara kerana yang lainnya berbangsa Arab. Jadi mahu atau tidak, dia perlu bersaing dengan pelajar Arab lain.

“Di sini guru sangat menitikberatkan makhraj dan tajwid yang betul bermula dengan surah pendek,” katanya.

Menurutnya, Na’ilah turut menghadapi masalah sama seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain dan tidak khusyuk menghafaz al-Quran.

Katanya, sebaik saja al-Quran dibuka, hanya lima minit Na’ilah boleh duduk membaca sebelum kembali bermain.

“Saya terpaksa cari kaedah lain agar dia tidak bosan. Saya kemudian mengikuti satu laman sesawang di Malaysia yang diusahakan seorang wanita. Dia berpengalaman kerana dua anaknya menghafaz al-Quran sejak kecil.

“Saya tertarik memperkenalkan kaedah ini kepada Na’ilah iaitu pengajaran menerusi kaedah tidak formal. Ini kerana sifat semula jadi bayi tidak boleh fokus dan duduk diam walaupun dalam masa lima minit.

“Jadi, saya menerapkan hafazan sambil bermain di taman permainan kemudian diselang-selikan bacaan surah pendek.

“Oleh kerana Na’ilah suka berenang dan menunggang kuda, sebelum melakukan kedua-dua aktiviti itu, saya meminta dia mengaji dengan tajwid yang betul. Jika tidak, dia tidak dapat berenang dan menunggang kuda,” katanya.

Karlina berkata, Na’ilah didedahkan dengan ayat al-Quran seawal usia enam bulan menerusi video, YouTube dan kad imbas.

Katanya, pendedahan kepada rakan sebaya berbangsa Arab juga sangat membantu Na’ilah untuk bercakap dengan makhraj yang betul.

“Sejak mengandung, saya mula perdengarkan ayat al-Quran kepadanya dan membaca al-Quran berulang-ulang kali. Malah, abang saya juga pernah berpesan kepada saya untuk melahirkan anak yang boleh menghafaz al-Quran bermula dari dalam kandungan lagi,” katanya.

Menurutnya, impian menjadikan anak-anaknya hafizah bermula ketika dia menetap di United Kingdom.

Ketika itu, Karlina berkawan dengan seorang wanita Arab dari Oman.

“Dia seorang yang sangat pintar walaupun pernah tidak hadir ke sekolah. Namun dalam peperiksaan, dia sering mendapat markah tertinggi dan diiktiraf sebagai pelajar terbaik.

“Saya bertanya kepadanya bagaimana dia mendapat markah yang tinggi.

“Dia memberitahu sejak muda sudah menghafaz al-Quran. Ini disebabkan dia dibesarkan ibu bapa yang kurang waras, jadi dengan masa dan tenaga muda diberi Allah, dia tidak mahu disoal di akhirat mengenai amalan ketika hidup.

“Saya menangis mendengar ceritanya dan sejak itu berazam ingin mendidik anak-anak menjadi seorang hafizah, mampu menguasai bahasa Arab dan bijak dalam Matematik,” katanya yang menjadikan makanan sunnah seperti kismis, kurma dan bijirin sebagai makanan harian Na’ilah untuk memperkuatkan daya ingatannya.

Kini pada usia empat tahun, Na’ilah mampu menghafaz semua surah dalam juzuk Amma dan juga beberapa ayat dalam surah al-Baqarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:35 PM
NA’ILAH Rawyan menunjukkan sijil kemenangan pada Pertandingan Hafazan al-Quran di Qatar, baru-baru ini. Na’ilah Rawyan bersama keluarga (gambar kecil). FOTO/VIDEO Ihsan Karlina Zakaria