PANDELELA-Jun Hoong raih emas cara 10m platform seirama wanita
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast
sukanteam@nstp.com.my


ANGIN kuat tidak membataskan terjunan Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong untuk meraih pingat emas Sukan Komanwel dalam acara 10m platform seirama wanita di Optus Aquatic Centre, hari ini.

Jun Hoong-Pandelela yang juga pemenang perak Sukan Olimpik 2016, memukau barisan juri dengan lima terjunan bertaraf dunia - 53.40, 70.20, 76.80, 74.88 - untuk mengumpul keseluruhan 328.08 mata sekali gus memimpin aksi daripada mula hingga ke terjunan terakhir.

Sebagai rekod, ia adalah pingat emas ketiga dimenangi skuad terjun negara sepanjang penyertaan dalam Sukan Komanwel selepas Pandelela (10m platform pada edisi 2010) dan Ooi Tze Liang (3m papan anjal pada edisi 2014).

Lebih manis, Malaysia turut merangkul pingat gangsa acara itu menerusi gandingan Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri yang mencatat 308.16 mata dengan pingat perak menjadi milik penerjun Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay (312.12).

Bagi Jun Hoong, ia adalah hari istimewa buatnya kerana emas itu adalah pingat pertamanya sejak membuat penampilan di temasya 2006.

“Saya amat gembira. Terima kasih kepada Pandelela, saya akhirnya memenangi pingat pertama di Sukan Komanwel. Ia juga adalah emas pertama Malaysia dalam 10m platform seirama,” kata atlet kelahiran Ipoh itu.

“Cuaca agak berangin apabila kami di atas platform tetapi kami kekal fokus dan cuba melakukan apa yang dibuat sepanjang latihan.”

Sementara itu, Mun Yee-Dhabitah menegaskan, pingat gangsa 3m seirama yang dimenangi di sebelah pagi lebih sukar berbanding kejayaan mereka dalam 10m platform seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 8:31 PM