Arfa Yunus dan Awaina Arbee
cnews@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Kejayaan projek perkhidmatan tren Transit Aliran Massa (MRT) pertama negara, membuktikan Malaysia mengambil langkah besar dalam menaik taraf rangkaian pengangkutan awam ke arah usaha meningkatkan daya hidup di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

TARAF hidup penduduk di kawasan bandar meningkat dengan kemudahan pengangkutan awam yang eifisen seperti MRT.

Jajaran pertama MRT dari Sungai Buloh ke Kajang (SBK) dilancarkan pada 17 Julai tahun lalu siap dua minggu awal daripada tarikh dijadualkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan laporan Program Transformasi Nasioanal (NTP) 2017 bulan lalu berkata, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) banyak membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan bandar.

TARAF hidup penduduk di kawasan bandar meningkat dengan kemudahan pengangkutan awam yang eifisen seperti MRT.

Beliau menyifatkan kejayaan menyiapkan projek itu lebih awal dari tempoh ditetapkan ialah pencapaian terbesar dalam usaha kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup dan jaringan hubungan di Kuala Lumpur serta Lembah Klang.

“Penyempurnaan pembinaan MRT ini menggambarkan pengurusan serta pengoperasian projek cemerlang hingga membolehkan ia disiapkan tepat pada masa, bawah dari bajet diperuntukkan.

“Jajaran sepanjang 51 kilometer itu memenuhi keperluan lebih 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang koridor Sungai Buloh-Kajang.

PROJEK jajaran 51km beri manfaat 1.2 juta penduduk.

“Ia menawarkan faedah signifikan kepada orang ramai dengan mengurangkan perbelanjaan isi rumah ke atas pengangkutan, masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan laluan kereta api,” katanya.

Ketika ini, laluan kedua MRT dari Sungai Buloh-Serdang- Putrajaya (SSP) sudah 12 peratus siap dan dijangka memulakan operasi penuh pada 2022.

Kedua-dua laluan MRT ini dijangka mampu menampung keperluan sehingga 900,000 pengguna setiap hari.

Laporan NTP sebelum ini menyebut Kuala Lumpur berada di tangga kedua dalam senarai bandar paling berdaya huni di Asia Tenggara. Ketika ini, Kuala Lumpur menarik penyertaan 73 syarikat multinasional dengan menyediakan 10,971 peluang pekerjaan sejak 2011.

Selain itu, dalam meningkatkan kehidupan rakyat, kerajaan melaksanakan usaha mengindahkan sungai sekitar kawasan bandar.

“Rantau ini juga terus mencatat kemajuan menerusi projek ikonik lain iaitu Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL).

“Ia bagi membersih dan mencantikkan lapan sungai bermatlamat mempertingkatkan kemampanan alam sekitar, selain menarik pelaburan, seterusnya memastikan kualiti hidup lebih baik di dalam dan sekitar ibu negara.

“Projek RoL turut diberi Anugerah Kecemerlangan oleh Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap di bawah kategori Landskap Kebudayaan dan Urban Landskap pada Anugerah Seni Bina Landskap Asia-Pasifik 2017,” kata Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 8:00 AM