TUMBUHAN kering dipercayai ganja seberat 29.59 gram berjaya dirampas selepas polis menyerbu sebuah rumah di Taman Changkat Lada Raya, di sini tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


POLIS memberkas guru yang sedang membalut rokok daun dipercayai mengandungi ganja di rumah di Taman Changkat Lada Raya, Kampung Gajah, tengah malam tadi.

Dalam serbuan 12.45 tengah malam itu, guru berusia 45 tahun itu diberkas ketika sedang duduk di lantai bilik bersama beberapa bahan termasuk tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 29.59 gram.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

“Ketika serbuan, suspek disyaki penagih dadah didapati sedang duduk di lantai bilik dan pemeriksaan lanjut menjumpai bekas plastik warna ungu yang di dalamnya berisi tumbuhan kering disyaki ganja.

“Turut dijumpai di lantai bilik berkenaan ialah satu paket plastik berisi tembakau dan rokok daun serta gunting yang disyaki peralatan untuk menghisap dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, semakan mendapati suspek ialah seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kampung Gajah, namun tiada rekod jenayah lampau.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif bahan berunsur 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 29.59 gram berjaya dirampas selepas polis menyerbu sebuah rumah di Taman Changkat Lada Raya, di sini tengah malam tadi. NSTP/IHSAN PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 2:46 PM