MASIH dalam fasa berusaha bangkit daripada episod duka selepas bercerai.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bukan mudah untuk berdepan dengan perceraian tetapi penyanyi Mimi Fly reda dengan ketentuan Ilahi.

Walaupun perit hingga pernah mengalami kemurungan, anggota kumpulan One Nation Emcees ini percaya apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

Bagi pemilik nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham, hidupnya kini lebih tenang dan bahagia selepas kembali solo.

“Terus terang, agak sukar untuk saya membiasakan diri dengan kehidupan baru selepas bercerai.

“Maklumlah, saya dan bekas suami melayari kehidupan berumah tangga selama dua tahun dan pastinya saya berasa sunyi selepas berpisah. “Sebelum ini, kita kongsi segalanya dengan seseorang, tetapi apabila kita kembali hidup solo semuanya dihadapi sendirian,” katanya.

Menurut Mimi, dia dan bekas suami, Mohd Firdaus Hajar bercerai kerana tiada persefahaman lagi.

“Saya tidak salahkan Firdaus atas apa yang berlaku.

“Saya yang memilih perceraian ini kerana memikirkan masa depan kerjaya seni yang dicintai sejak dulu,” katanya.

Ditanya soal pengganti pula, kata Mimi, dia masih lagi dalam fasa untuk kembali bangkit daripada episod duka itu.

“Saya tidak menolak untuk berkawan dengan lelaki lain dan mencari pengganti. Cuma buat masa ini, saya lebih selesa hidup sendiri.

“Saya juga sudah pun memulakan hidup baru dan kembali fokus pada karier seni,” katanya.

Mimi berkahwin dengan pengurus One Nation Emcees, Mohd Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015.

Namun, pasangan ini bercerai pada Disember tahun lalu selepas dua tahun berumah tangga.

Kisah hidup Mimi dalam Single Superfly

Bangkit kembali dengan semangat baru, Mimi mempertaruhkan single berjudul Superfly yang juga projek nyanyian solonya.

“Saya menyertai pengurusan Paranormal selepas bercerai pada Oktober lalu untuk projek single solo ini.

“Single solo ini saya hasilkan sendiri bersama tiga lagi komposer terkenal iaitu Shazee Ishak, Omar K dan Audi Mok.

“Single ini dihasilkan khas buat peminat. Ia sudah berada di pasaran pada 16 Mac lalu.

Mimi berkata, single itu cukup bermakna buat dirinya dan peminat yang setia menyokong karier seninya sejak dulu.

“Single Superfly menceritakan jatuh bangun saya sebagai wanita berdikari serta bagaimana mencari keyakinan untuk meneruskan kehidupan.

“Selain menceritakan kisah hidup sendiri, single ini juga ada kelainan daripada yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Saya juga merancang untuk muncul dengan single demi single sebelum menghasilkan album penuh nanti,” katanya.

Mengenai sambutan peminat pula, kata Mimi, dia bersyukur kerana video muzik single Superfly yang dimuat naik di YouTube pada pertengahan bulan lalu mendapat sambutan baik pendengar.

“Alhamdulillah, sejak dimuat naik di YouTube pada 16 Mac lalu, video single Superfly sudah mencatat 237,000 tontonan,” katanya.

Mengulas perkembangan terbaru One Nation Emcees pula, Mimi menafikan dakwaan kumpulan itu sudah dibubarkan.

“Saya bergerak solo kerana anggota lain memutuskan untuk berehat seketika.

“Jojo dan Zydee sibuk dengan bisnes masing-masing buat masa ini. Insya-Allah, ada rezeki kami akan kembali beraksi di atas pentas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 5:45 AM