KANAK-kanak mengangkat kayu api untuk memasak di kem pelarian di Cox’s Bazar. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 3,000 wanita dan kanak-kanak pelarian etnik Rohingya yang berlindung di kem Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh bakal menerima manfaat pendidikan, latihan vokasional dan sokongan kaunseling menerusi pembukaan Pusat Komuniti Wanita dan Kanak-Kanak hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan, Rose2Rose.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia merangkap Penasihat Rose2Rose, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, lebih 51 peratus daripada sejuta pelarian Rohingya yang berlindung di sekitar Cox’s Bazar adalah wanita.

“Mereka lebih berisiko terdedah dipergunakan untuk perdagangan seks, keganasan fizikal dan kebanyakannya membesarkan anak sendirian tanpa tempat bergantung dan punca pendapatan.

“Jumlah mereka yang sangat ramai membuatkan kami tidak mampu untuk memberi bantuan wang berterusan kepada mereka. Justeru, kami mengambil inisiatif membangunkan pusat ini,” katanya ketika merasmikan pusat itu sempena Misi Kemanusiaan Gift of Smiles bermula Khamis lalu, semalam.


DR Fauziah (kiri) dan Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar di depan pusat komuniti wanita dan kanak-kanak di kem Kutupalong, Cox’s Bazar yang dilancarkan semalam. FOTO NSTP

Sempena misi berkenaan, mereka turut mengedarkan pek makanan kepada pelarian Rohingya dan memantau penyerahan rumah perlindungan dilengkapi kipas angin serta panel solar kepada 50 keluarga pelarian yang berlindung di kem Balukhali, Ukhia.

Menurutnya, pusat berkenaan yang bakal beroperasi pertengahan bulan ini akan dijadikan sebagai pusat menjalankan aktiviti dan memperkasakan golongan wanita serta kanak-kanak yang menetap di kem berkenaan.

“Objektif penubuhan pusat komuniti ini pada asalnya bagi memberi peluang kepada wanita yang kehilangan suami akibat konflik peperangan di negara bergolak supaya kemahiran mereka dibangunkan untuk kelangsungan hidup.

“Wanita mahupun ibu tunggal akan dibekalkan dengan kemahiran vokasional seperti kelas menjahit dan memasak, mengaji serta solat, manakala anak mereka pula boleh menggunakan kemudahan permainan disediakan di pusat itu ketika ibu mereka menghadiri kelas berkenaan,” katanya.


DR Fauziah bersama pelarian wanita yang menerima sumbangan mesin jahit menerusi pembukaan pusat komuniti wanita dan kanak-kanak di kem Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh. FOTO NSTP

Beliau berkata, semua pelarian terpilih akan menerima latihan enam kali seminggu daripada guru etnik Rohingya berpengalaman dan ilmu dipelajari boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan termasuk mengambil upah menjahit dan sebagainya.

“Mereka akan diberikan latihan selama tiga bulan untuk belajar menjahit dan menjalani ujian latihan dengan menghasilkan pakaian.

“Selepas melepasi ujian itu, mereka akan diberikan mesin jahit untuk dibawa pulang ke tempat perlindungan masing-masing bagi tujuan menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang prihatin kepada masyarakat negara bergolak menerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad melalui akaun Maybank 551575004299, CIMB Islamic 8602135592 atau Bank Islam 12092010034904.

Rose2Rose sedang melancarkan kempen #ImpactAmother yang menyasarkan kutipan dana RM300,000 bagi menampung kos perbelanjaan semasa bagi pusat berkenaan termasuk di Idlib, Syria; Antakya, Turki dan Setapak, Kuala Lumpur untuk pelarian Palestin dan Syria.

“Kos berkenaan meliputi kos pembelian mesin jahit, sewa bulanan, upah guru, peralatan serta kos operasi untuk kesemua pusat berkenaan,” katanya.


WAJAH ceria pelarian kanak-kanak etnik Rohingya yang menerima sumbangan alat tulis dan beg sekolah ketika misi kemanusiaan MyCARE di Cox’s Bazar. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 9:13 AM