MOHAMMAD Hisham (kanan) bersama Nadzim mengadakan perbincangan berhubung isu penipuan pembelian kenderaan secara dalam talian. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Umpan lapan mangsa setiap hari untuk mendapatkan wang mudah. Taktik licik itu dikesan dilakukan individu tertentu yang memperdayakan orang ramai kononnya ingin menjual kereta secara dalam talian namun menghilangkan diri selepas deposit diterima.

Dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran, sindiket itu yang beroperasi 24 jam mengiklankan pelbagai kenderaan untuk dijual dan meminta mangsa memasukkan wang deposit sebagai tanda jadi tanpa melihat dulu kereta terbabit.

Mendedahkan modus operandi itu, Pengerusi Persatuan Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, semakan pihaknya mendapati kenderaan yang diiklankan itu sebenarnya adalah kereta lain dan didaftarkan atas jenama berbeza.

Katanya, orang ramai yang tertarik dengan harga murah terus bersetuju memberi wang pendahuluan serendah RM500 tanpa memeriksa keadaan kereta atau melihatnya terlebih dulu menyebabkan mereka menanggung kerugian.

“Sebagai contoh, minggu lalu, seorang mangsa berhubung dengan pengiklan menerusi satu laman web untuk membeli Perodua Kelisa pada harga RM9,000.

“Semakan PPJK mendapati nombor pendaftaran itu digunakan Chevrolet Aveo bukan Perodua Kelisa.

“Harga ditawarkan tidak masuk akal kerana harga semasa pasaran bagi model dimaksudkan adalah antara RM12,000 hingga RM14,500,” katanya.

Mohammad Hisham berkata, beliau menghubungi pengiklan untuk berurusan dan diberikan nombor akaun untuk memasukkan RM500 ke dalam akaun itu sebagai wang tempahan.

Menurutnya, semakan dengan polis mendapati ada laporan polis dibuat ke atas pemilik akaun kerana menipu dan sindiket itu menggunakan nama lain bagi mengaburi mata pihak berwajib.

“Saya bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada orang ramai mengenai penipuan pembelian secara dalam talian termasuk jual beli kenderaan baru dan terpakai.

Katanya, pengadu terpedaya dengan kata-kata pengiklan yang menawarkan harga murah selain mengiklankan kereta yang berada dalam keadaan baik menyebabkan mereka setuju menyerahkan wang.

“Mereka sepatutnya jumpa orang itu meneliti kereta atau barangan yang hendak dibeli. Bila puas hati, baru runding harga. Mereka hanya sedar ditipu selepas usaha menghubungi semula pengiklan gagal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 7:09 AM