ASHRAF bersama kedua-dua isterinya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Meskipun pernah dikecam hebat kerana tindakannya berkahwin dua, kini pelakon Ashraf Muslim dilabel sebagai ‘ikon poligami’ oleh netizen. Lebih-lebih lagi, Ashraf, 38, tidak menyembunyikan kebahagiaan dikecapinya bersama kedua-dua isteri dan keluarga tercinta.

Terbuka berbicara mengenai perkara itu, Ashraf berkata, perkahwinan lebih daripada satu tidak perlu dijadikan isu.

“Dalam Islam pun, tindakan poligami dibenarkan cuma ia sering menjadi isu kerana masyarakat belum boleh terima sepenuhnya.

“Biarpun saya boleh menjelaskannya secara terperinci, perkara berkaitan poligami sesuatu yang sensitif bagi orang kita.

“Jadi, apa yang boleh saya katakan, poligami akan jadi indah apabila suami mampu memimpin dengan betul,” katanya.

Ashraf pernah mengejutkan industri hiburan tanah air apabila bernikah buat kali kedua dengan wanita pilihannya, Wan Sakinah Ahmad Saburi, 34, di Thailand pada 7 Julai 2013. Terdahulu, Ashraf bertemu jodoh dengan isteri pertama, Noor Dayana Lokman, 31, dan mereka bernikah di Tanah Suci Makkah pada 30 Ogos 2011. Hampir lima tahun melayari kehidupan poligami, Ashraf dikurniakan tiga cahaya mata.

Bersama Noor Dayana, mereka dianugerahkan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 3, dan dengan Wan Sakinah pula sepasang zuriat iaitu Sarah Ashraf, 4, dan Adam Ashraf, 3.


ASHRAF. FOTO Aziah Azmee

Beralih perihal karier, Ashraf bertuah apabila menjadi pilihan penerbit dan stesen TV untuk tampil sebagai hero. Baru sahaja muncul dengan drama Cinta Hati Batu siaran TV3, Ashraf berkata, meskipun tawaran semakin banyak, dia teliti memilih naskhah.

“Sebagai pelakon saya perlu memilih naskhah yang dirasakan sesuai dan berkualiti.

“Malah, saya juga mengambil pendekatan memberi penjelasan kepada pihak produksi mengenai syarat yang perlu diikuti. Antaranya, saya akan pastikan tiada babak bersentuhan, aksi intim dan terlalu menunjuk kemesraan dengan rakan pelakon wanita.

“Setiap babak akan dilakonkan, saya bincang dengan pengarah dan rakan pelakon terlebih dahulu bagi mencapai kata persetujuan,” katanya.

Menurut Ashraf, dia perlu berhati-hati dan menjaga batas serta adab pergaulan.

“Sebagai lelaki yang sudah berkeluarga, saya sentiasa mengutamakan perasaan kedua-dua isteri. Saya tidak mahu terjebak dengan cerita sensasi tidak berasas kerana dalam era teknologi digital, semuanya di hujung jari.

“Saya aktif berlakon kerana minat yang tidak pernah pudar selain ia juga punca rezeki buat keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ashraf baru sahaja selesai penggambaran telefilem komedi, Ini Harta Bedu Punya. Menerusi karya itu, Ashraf menyahut cabaran membawakan karakter lucu.

“Saya bukan orang kelakar dan pandai bergurau senda. Justeru, telefilem ini sangat mencabar bagi saya. Apapun, saya perlu berani mencuba dan keluar daripada ruang selesa,” katanya.

Seronok dengan lakonannya dalam telefilem itu, Ashraf berharap penonton akan terhibur menyaksikanya apabila ditayangkan TV9 kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 3:56 AM