PEMANDANGAN bukit Gua Bewah yang menyerupai wanita mengandung sedang tidur di Tasik Kenyir.
Rosli Zakaria dan Haneeyzah Bariah Baharin
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Menyingkap sejarah Tasik Kenyir yang kini menjadi antara aset pelancongan utama Terengganu, ia asalnya cuma kawasan pedalaman yang hampir tidak dapat ditembusi kecuali dengan sampan kecil.

Sebanyak 30 sungai termasuk Sungai Terengganu dan Sungai Berang yang mengalir deras serta berbahaya melenyapkan kampung tradisional di Tasik Kenyir yang dahulunya hutan belantara sebelum wujudnya sebuah empangan.

Pada 1978, kawasan hutan seluas 38,000 hektar di situ yang sebesar saiz Singapura tenggelam hingga kedalaman 145 meter, sekali gus membentuk 340 pulau.

Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud mewujudkan Tasik Kenyir yang saujana mata memandang, begitu luas, dan kaya dengan peluang sumber ekonomi baharu dalam sektor pelancongan.

Dibuka secara rasminya pada 1986, empangan berkenaan ketika itu menarik nelayan tradisional untuk menangkap ikan air tawar yang mendapat permintaan tinggi di pasaran, terutama daripada pengendali restoran.

Bagaimanapun, kerancakan aktiviti itu yang di luar kawalan memaksa kerajaan memansuhkan semua lesen menangkap ikan secara tradisional bagi melindungi dan mengelak kepupusan sumber tasik itu pada 2004.

Tasik Kenyir mendapat namanya kerana dikenali sebagai syurga buat kaki pancing, apabila pemancing tegar daripada seluruh dunia datang ke tasik itu untuk memburu ikan toman, sebarau, kelah dan belida.

Keputusan tidak popular oleh kerajaan itu membimbangkan nelayan tradisional, namun ia penting bagi menyelamatkan sumber ikan air tawar yang menjadikan Tasik Kenyir terkenal dalam kalangan pelancong.

Bagaimanapun, kerajaan tidak sekadar membiarkan pendapatan golongan terbabit terjejas tanpa pembelaan.

Dalam masa sama, kerajaan menggalakkan nelayan tradisional menyertai sektor pelancongan dengan menyediakan perkhidmatan rumah bot yang membolehkan mereka menjana pendapatan sehingga RM8,000 sebulan.

Ketika ini, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) merekodkan 89 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir.

Selain itu, 111 bot laju dan 108 bot rekreasi menjadi pengangkutan utama pelancong untuk ke lokasi menarik di Tasik Kenyir, seperti Taman Rama-Rama, Taman Burung, Taman Orkid, Taman Buah Tropika dan Santuari Kelah.

Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail berkata, pembangunan yang dibawa ke Tasik Kenyir termasuk Zon Bebas Cukai membuka mata penduduk setempat mengenai peluang menjana pendapatan dengan pertambahan jumlah pelancong ke tasik itu.

“Penduduk setempat yang berani dan bijak mengambil peluang boleh memanfaatkan Tasik Kenyir sebagai lubuk untuk mereka meningkatkan pendapatan.

“Selepas semua kemudahan di Tasik Kenyir siap menjelang akhir tahun ini, kita merangka pelbagai aktiviti untuk pengunjung bagi meningkatkan kemasukan pelancong ke sini.

“Tahun lalu kita merekodkan lebih 800,000 pengunjung. Jika seorang pelancong membelanjakan RM20, bermakna kita menjana RM16 juta untuk ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata, KETENGAH optimis dengan potensi besar Tasik Kenyir sebagai tarikan utama pelancongan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan besar untuk membangunkan tasik itu.

Ia akan memanfaatkan bukan saja kerajaan negeri, tetapi lebih utama penduduk tempatan.

Omar berkata, Tasik Kenyir bukan saja menarik pelancong untuk menginap dalam tempoh singkat, tetapi juga pengembara yang menginap lebih seminggu untuk meneroka segenap tarikan alami di tasik itu.

Ini menyediakan peluang pekerjaan khususnya untuk belia yang boleh bekerja sebagai pemandu, tukang bot dan pekerja am. Pekerjaan ini memberi mereka lebih banyak pendapatan pada hujung minggu dan cuti panjang,” katanya.

Projek akuakultur beri manfaat kepada golongan miskin

Projek akuakultur berimpak tinggi di Tasik Kenyir menghasilkan hampir 327 tan ikan air tawar dua tahun lalu, sekali gus menjadi antara inisiatif terbaik kerajaan dalam mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNP), Zawawi Ali berkata, projek itu menghasilkan 204,830 kilogram (kg) ikan pada 2016 dan 122,000kg tahun lalu.

Beliau berkata, bekalan dihasilkan menerusi pembiakan ikan dalam sangkar yang menjadi sebahagian daripada inisiatif membasmi kemiskinan oleh kerajaan negeri sejak 2007.

“RM20 juta dilaburkan kerajaan negeri untuk membina infrastruktur dan sangkar bagi projek ini.

“Pada peringkat awal, kita mengenal pasti 80 peserta melalui program e-Kasih sebagai perintis projek, yang merangkumi 3,027 hektar kawasan akuakultur.

“Sebuah syarikat yang mengambil bahagian dipilih untuk menerajui projek itu tetapi usaha itu gagal dan syarikat itu disingkir.

“Ia tidak menghentikan usaha kita untuk mencorak kejayaan dan merangsang sosioekonomi Terengganu dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan untuk penduduk tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 7:44 AM