AIMAN Tino. FOTO Mahzir Mat Isa
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Bagi menjayakan watak Kumin dalam drama bersiri Mak Cun, penyanyi Aiman Tino merelakan dirinya ditampar demi mendapatkan emosi.

Bagaimanapun, Aiman terkejut dengan pendekatan yang digunakan pelakon senior Fazlina Ahmad Daud terhadap dirinya bagi memastikan dia menjiwai babak terbabit dengan baik.

Kata Aiman, baru kini dia sedar bukan mudah untuk bergelar pelakon.

“Saya tiada masalah berlakon cuma sukar apabila perlu melakonkan babak marah dan sedih serentak. Sebelum babak saya bermula, saya bertanya kepada Kak Erma Fatima bagaimana mahu menjiwai babak itu “Kebetulan Fazlina yang saya panggil Kak Baby ada bersama dan dia membawa saya ke satu sudut. Dia meminta saya mengenang semula perkara sedih dalam hidup. Tiba-tiba, dia menampar saya.

“Tindakannya itu membuatkan saya terkejut, namun, sebaik selesai penggambaran babak itu dia terus memeluk saya dan memohon maaf.

“Saya faham dan tidak marah kerana dia hanya membantu menghayati watak. Sampai patah gitar yang dijadikan prop gara-gara menjiwai watak,” katanya.

Kata Aiman, selepas ‘terjebak’ dalam bidang lakonan, dia mengakui berada di set penggambaran memerlukan kesabaran yang tinggi selain mengagumi bakat pelakon hebat.

AIMAN Tino. FOTO Mahzir Mat Isa

“Bukan mudah bermain emosi. Tanpa pengalaman dan tunjuk ajar seseorang, pelakon itu tidak akan mampu memberikan persembahan yang hebat dalam lakonan.

“Saya beruntung mendapat bantuan daripada pelakon berbakat besar. Kalau saya seorang, pasti tidak mampu menyampaikan emosi seperti yang dikehendaki pengarah dan skrip,” katanya.

Penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu tidak menyangka gurauan ibunya, Hazelina Mat Jalil yang mencadangkan kepada Erma supaya mengambilnya berlakon menjadi kenyataan.

Sebaik ditawarkan menjayakan drama bersiri popular itu, dia terus bersetuju.

“Memang sudah lama saya teringin berlakon. Ketika Erma mencari pelakon untuk watak Kumin, ibu bergurau dengan menyarankan nama saya.

“Terima kasih kepada Kak Erma kerana sudi beri peluang. Ingatkan saya hanya bawa watak kecil tetapi apabila baca skrip banyak pula babak membabitkan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 6:54 AM