Pradeep bersama kudanya. - Twitter
AFP

Ahmedabad, India: Seorang petani muda dalam masyarakat Dalit yang dianggap kasta rendah dibelasah hingga mati hanya kerana dia memiliki kuda, sesuatu yang dianggap simbol kuasa dan kekayaan.

Menurut polis semalam, tiga lelaki daripada kasta lebih tinggi ditahan selepas mayat Pradeep Rathod ditemui berlumuran darah di perkampungan Timbi, Gujarat, Khamis lalu.

Dalit yang digelar ‘tidak layak disentuh’ adalah antara masyarakat terpinggir di India.

Bapa Pradeep yang menemui mayat mangsa mendakwa anaknya dibunuh penduduk kampung berkenaan yang berkasta tinggi kerana dia memiliki kuda.

Timbalan Superintendan polis, A M Saiyed, berkata Rathod memberitahu anaknya sukakan kuda dan dia membelikan seekor haiwan itu untuk Pradeep, lapan bulan lalu.

“Seminggu lalu, ketika menunggang kuda itu bersama anak saya, seorang lelaki daripada kasta Kshatriya (pahlawan) memberi amaran supaya jangan menunggang kuda dalam kampung.

“Dia berkata masyarakat Dalit tidak boleh menunggang kuda, hanya Kshatriya boleh. Dia juga mengancam membunuh kami jika tidak menjual kuda itu,” kata Rathod dalam laporan polisnya.

Masyarakat Dalit yang berada paling bawah dalam sistem kasta India, sudah lama menjadi mangsa penganiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 6:21 AM