ZARINA bersama keluarganya teruja menyertai permainan baling selipar sempena Festival GegaRia 2018. - FOTO Saddam Yusoff
Rizanizam Abdul Hamid dan Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my


KELETAH gandingan ibu dan anak menyelamatkan diri daripada terkena balingan selipar ternyata mencuit hati.

Pada usia 43 tahun, Zarina Kamarul Bahrin, kelihatan lincah ketika beraksi dalam sukan permainan rakyat yang sinonim dengan generasi terdahulu, sekali gus meraih sokongan pengunjung Festival GegaRia 2018, hari ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan sukan yang semakin luput dalam kalangan generasi muda masa kini adalah permainan tradisi ahli keluarganya.

"Tiap kali balik kampung atau menganjurkan hari keluarga, permainan baling selipar ini mesti menjadi acara kemuncak dan wajib diadakan.

"Ia sangat menyeronokkan sebab masa inilah kita nak lepas geram dengan membaling selipar pada orang, namun ada mesej di sebaliknya.

"Permainan rakyat ini menyihatkan badan, selain merapatkan ukhuwah sekeluarga biarpun kadang kala saingannya sengit," katanya.

Acara baling selipar menyaksikan perlawanan antara dua kumpulan diwakili tiga pemain dianjurkan Street Team sempena Festival Gegaria 2018 di pekarangan Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kuala Lumpur.

Zarina yang bertugas di MATRADE berkata, keluarganya mengikuti perkembangan Festival GegaRia, namun tidak berkesempatan menyertainya berikutan kekangan masa dan lokasi penganjuran.

"Bila tahu festival diadakan di MATRADE, saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa dan menyertai setiap aktiviti dianjurkan.

"Pengisian Festival GegaRia sangat menepati citarasa golongan muda, selain menggabungkan elemen pendidikan dan riadah untuk manfaat seisi keluarga," katanya yang hadir bersama suami, Mohd Faidzul Sharifuddin, serta tiga anak, iaitu Fatin Zafira, Fatin Zahira dan Zarif Farhan, masing-masing berusia antara sembilan hingga 15 tahun.


KANAK-KANAK yang mengunjungi Festival GegaRia 2018 turut berpeluang bermain buih sabun. FOTO Saddam Yusoff

Anak sulungnya, Fatin Zafira, berkata permainan baling selipar akan dijadikan legasi keluarga kerana mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan sejarah tersendiri.

Katanya, ia lebih menyeronokkan berbanding permainan video, selain berupaya menangani gejala ‘ketagih gajet’ yang ketika ini semakin menular dalam kalangan generasi muda.


PENGUNJUNG berpeluang menyertai MYGAMEON sempena Festival GegaRia 2018. FOTO Saddam Yusoff

"Ibu bagi main permainan video dan melayari media sosial di telefon bimbit, tetapi ia perlu seimbang dengan aktiviti menyihatkan badan.

"Sebab itu, baling selipar ini dijadikan legasi kami sekeluarga," katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan pada hari ini dan antara aktiviti kemuncak adalah sesi beramah mesra bersama artis jemputan seperti Reen Rahim, Eyka Farhana dan Bunkface, mulai jam 5 petang di gerai gaya hidup.

Penganjuran di lokasi kelima ini akan melabuhkan tirai dengan Konsert GegaRia mulai jam 8 malam membabitkan penampilan kumpulan Bunkface, Iamneeta, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo dan Bittersweet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 2:07 PM