Amniera Naziera Amran
cnews@nstp.com.my

Kota Kinabalu: Sama seperti gadis bermata biru yang mudah mencuri perhatian ramai, begitu juga dengan kewujudan ikan bilis mata biru yang mendapat permintaan tinggi daripada pelancong dan penggemar hidupan laut sekitar bandaraya ini.

Ikan bilis mata biru dianggap pembuka rezeki bagi peniaga produk hasil laut di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu di sini kerana hampir setiap hari pelanggan yang mengunjungi premis terbabit pasti membeli produk istimewa itu.

Kebanyakan peniaga gerai di pasar terbabit menjual ikan bilis mata biru yang turut menjadi pilihan ramai bagi kegunaan sendiri, selain sebagai ‘buah tangan’ dalam kalangan pengunjung luar khususnya dari Semenanjung, Sarawak dan Brunei.

Ikan bilis itu dipanggil dengan nama berkenaan kerana memiliki mata berwarna biru dan berbanding ikan bilis biasa yang dijual sudah dikupas, ikan bilis mata biru bersaiz lebih kecil, tiada tulang dan perut.

Peniaga, Muhadir Zulkifli, 33, berkata ikan bilis mata biru seperti pelaris bagi setiap gerai di pasar terbabit kerana setiap hari pasti ada pelanggan membeli produk berkenaan.

“Kami menganggap ikan bilis mata biru punca rezeki kerana produk ini terlalu laris dan sehari boleh habis sekitar 50 kilogram (kg).

“Sejak berniaga lebih 20 tahun lalu, saya memang menjual ikan bilis mata biru dan kami menganggap ‘tagline’ Datuk Aliff Syukri ‘Terlajak Laris’ itu memang sesuai dengan ikan bilis mata biru ini,” katanya ketika ditemui di gerainya, di sini.


MUHADIR menunjukkan ikan bilis mata biru yang boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu. FOTO Amniera Naziera Amran.

Menurutnya, ikan bilis mata biru itu bermusim iaitu tiga kali dalam setahun namun di pasar terbabit jarang sekali kekurangan stok kerana mempunyai pembekal tetap memandangkan permintaan tinggi, selain tidak semua tempat ada menjual produk itu.

“Selain di Sabah, saya difahamkan ada juga di Semenanjung iaitu di Pulau Pangkor (Perak) dan Langkawi namun harganya mungkin sedikit mahal,” katanya.

Ikan bilis mata biru boleh diperoleh dalam tiga gred iaitu gred A dijual pada harga RM50 sekilogram, gred B (RM45 sekilogram) manakala gred C (RM35 sekilogram) namun harga bergantung kepada musim.

Muhadir berkata, ikan bilis mata biru yang bersaiz kecil menjadi pilihan ramai kerana ia kurang masin dan sesuai untuk dicampur dalam bubur dan dibuat sambal nasi lemak.

“Saya mendapat bekalan ikan bilis mata biru ini dari Tawau ,Pitas dan Sandakan tetapi ada juga dari Papar cuma tidak banyak.

“Selain penduduk tempatan, saya menerima tempahan dari Semenanjung melalui pos dan sudah ada pelanggan tetap untuk dihantar setiap minggu,” katanya sambil menambah kebanyakan pembeli adalah dari Semenanjung.

Ditanya mengenai kenapa ikan bilis itu bermata biru, beliau sendiri tiada jawapan yang sahih namun menurut cerita orang tuanya, ia berlaku kerana ikan bilis itu tinggal di lautan biru yang dalam.


IKAN bilis mata biru. FOTO Amniera Naziera Amran.

“Walaupun banyak spekulasi dan mitos mengenai ikan bilis bermata biru, saya sendiri tiada jawapan,” katanya sambil menambah ikan bilis ini mula digemari sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Pembeli, Sharifah Bahrin,37, dari Shah Alam yang bercuti ke Sabah, berkata ikan bilis mata biru menjadi bekalan penting untuk dibawa balik ke Semenanjung sekiranya berkunjung ke Kota Kinabalu.

“Ikan bilis mata biru ini ada di Semenanjung tetapi harganya agak mahal dan memang saya akan beli berkotak-kotak untuk saudara mara,” katanya.

Menurutnya, dia sering datang ke Sabah atasan urusan kerja dan pasti tidak melepaskan peluang membeli secara borong sebagai stok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:30 AM