Mangsa bersama Ketua pemuda IRIMM, Mohd Kassim Alla Pitchay membuat aduan berhubung kes cabul majikannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul disini, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


WANITA mangsa cabul tidak berpuas hati apabila mendakwa suspek yang mencabulnya dilepaskan tanpa sebab oleh polis.

Mangsa, M Clementine, 50, mendakwa suspek yang juga majikannya warganegara India ditahan selepas mencabulnya di pejabat tempat dia bekerja di Jinjang, Sentul pada 16 Mac lalu.

"Kejadian berlaku pada 15 Mac lalu, suspek datang dari India untuk memeriksa perniagaannya.

"Namun setiba di pejabat, suspek meraba payudara saya dan memegang kemaluan saya," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul disini, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian membuat laporan polis pada hari kejadian dan suspek ditahan polis keesokan harinya bersama seorang saksi warga Pakistan.

"Bagaimanapun, saya di beritahu pegawai penyiasat kes berkenaan sudah melepaskan dua lelaki berkenaan dengan alasan tiada bukti kukuh.

"Saya tidak berpuas hati kerana saksi kejadian juga tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan dilepaskan begitu sahaja," katanya.

Katanya, akibat kejadian itu dia terpaksa berhenti kerja dan masih trauma dengan kejadian terbabit.

"Saya minta polis menjalankan siasatan telus terhadap kes ini kerana ia membabitkan maruah saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 6:24 PM