AKSI Azroy di KL2017 lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Atlet angkat berat Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad mengakui tertekan apabila diletakkan harapan untuk menyumbang emas pertama negara pada Sukan Komanwel Gold Coast bermula 4 April ini.

Bagaimanapun, bagi Azroy, dia mempunyai cara tersendiri untuk meredakan tekanan itu dan berharap mampu melakukan yang terbaik demi negara.

Antara yang dilakukan oleh atlet berusia 24 tahun itu adalah dengan menghubungi ibunya, Rohana Ahmad di kampung halamannya di Rompin untuk meminta restu dan doa.

“Memang saya akui berasa sedikit tertekan dan bimbang tapi saya akan cuba mengatasi perkara itu.

“Apapun saya sudah bersedia beraksi dan jika boleh selain memburu emas saya mahu cuba memecahkan rekod temasya 117 kilogram (kg) dalam snatch dan 146kg dalam clean and jerk,” katanya.

Azroy akan beraksi pada hari kedua temasya 5 April ini dalam acara 56kg, sekali gus memburu hadiah ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada hari pembukaan temasya itu.


JURULATIH sukan angkat berat negara, Wang Zhi Quan (tengah) bersama Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad (kiri) Muhammad Aznil Bidin. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Kejayaannya mengatasi rekod kebangsaan ketika latihan memberi motivasi buatnya memburu kejayaan di Gold Coast.

“Latihan di Vietnam memang amat membantu.

“Alhamdulillah, saya berjaya memecah rekod kebangsaan sebanyak 10kg ketika latihan dan harapnya momentum ini dapat diteruskan di Gold Coast nanti,” katanya.

Atlet dari Pahang itu antara prospek terbaik negara dalam sukan angkat berat selepas ketiadaan Hafifi Mansor yang digantung akibat doping.

Hafifi, yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dalam kategori 69kg, disahkan positif mengambil oxymetholone iaitu dadah perangsang yang dikatakan bertujuan untuk membina otot.

Kontinjen angkat berat negara akan diwakili 10 peserta terdiri daripada Azroy, Fazrul Azrie Mohdad (85kg), Aznil Bidin (62kg), Norfarhan Ideris (105kg), Abdul Mubin Rahim (77kg), Erry Hidayat (69kg), Siti Aisyah Md Rosli (90kg), Sharifah Inani Najwa Syed Anuar (53kg), Marlyne Marceeta (58kg) dan Jabriella Teo Samuel (75kg).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:24 AM