CHOO melakukan rias akhir model skala kereta kebal sebelum dijual kepada pelanggan di Jalan Burmah, Pulau Tikus. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli
news@nstp.com.my

Georgetown: Hobi melengkapkan kepingan model skala bukan satu perkara baru di negara ini malah berkembang sejak era 1980-an lagi dan mempunyai peminatnya tersendiri.

Seiring dengan perkembangan semasa, model skala sudah diberi nafas baru bagi membangkitkan semula zaman kegemilangannya dalam pelbagai variasi supaya tampak lebih unik.

Bukan sahaja memasang model skala, ia kini diwarnakan menjadi diorama bagi membangkitkan imej tiga dimensi (3D), malah ada yang disusun mengikut latar belakang peristiwa tertentu.

Seperti dilakukan dua sahabat, Choo Huang Ming, 45, dan Andrew Gay Choon Kooi, 42, yang berkongsi hobi itu bersama dengan peminat model skala menerusi kelab International Plastic Modelers Society (IPMS) Malaysia.

Choo yang juga Pengurus Pemasaran dan Penganjur Acara World Hobby Miniatures (WHM) berkata, usaha membina empayar kelab model skala di Malaysia tidak mudah kerana perlu melalui beberapa proses termasuk mendaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Berpengalaman selama 30 tahun dalam hobi itu, Choo berkata, memasang model skala adalah hobinya sejak di bangku sekolah rendah dan sehingga kini memiliki ratusan koleksi yang disimpan dan untuk dijual.

RUTIN bagi Choo (depan) bersama rakan kongsinya, Andrew (belakang) memeriksa stok dan pesanan pelanggan. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Katanya, dia lebih meminati skala mini berbentuk ketenteraan kerana terlalu minat dengan bidang berkenaan.

Menurutnya, antara model kegemarannya ialah kapal terbang, kereta perisai, jet pejuang dan beberapa model kapal terbang milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Walaupun meminati model skala kapal terbang, tetapi saya sebenarnya takut kepada ketinggian.

“Selain memasang model skala, kami juga mengecat dan menyusun bagi menjadikan diorama mengikut kehendak pelanggan yang mempunyai nilai lebih tinggi di pasaran,” kata anak kelahiran Tanjung Bungah itu.

Kini, Choo dan Andrew mengusahakan WHM sejak lebih tujuh tahun lalu menjadi tumpuan ahli kelab berkenaan bertukar pandangan dan mendapatkan koleksi terkini dan terhad.

Model skala yang dihasilkan Choo dan Andrew juga ditempah beberapa agensi kerajaan dan swasta bagi dijadikan cenderahati berikutan ketelitian mereka dalam menghasilkan model berkenaan.

Malah, adinda kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Abdul Samad Shah turut berkenan dengan model skala dan Choo pernah menghadiahkan koleksi eksklusifnya kepada baginda sebagai tanda kenangan.

Banyak suka duka dilalui dua sahabat itu ketika membina nama kelab berkenaan dan paling tidak dapat dilupakan ketika Choo terpaksa menjual kereta Proton Wira dengan harga RM10,000 yang digunakan sebagai modal bagi membeli model skala.

CHOO tekun memasang model skala kereta kebal yang ditempah pelanggan. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 4:29 AM