ANUAR Zain. FOTO Zunnur Al Shafiq
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Anuar Zain mengakui dia sukar mencari lagu sesuai untuk dinyanyikan bersama Bunga Citra Lestari (BCL) dan Yuka Karisma dalam Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Karisma Live In Concert yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 28 April ini.

Anuar, 48, berkata, mereka perlu memilih lagu mengikut kesesuaian vokal kerana ini pertama kali mereka bekerjasama di atas satu pentas.

“Saya, BCL dan Yuka sukar untuk mencari lagu yang sesuai dinyanyikan secara trio. Lagu pula tidak boleh pilih ikut suka. Susunan vokal di antara kami bertiga kena buat secara betul supaya persembahan dapat dilakukan dengan baik,” katanya.

Anuar berkata, pada konsert itu dia akan menyanyikan dua lagu secara trio bersama BCL dan Yuka.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini akan mempersembahkan lima lagu popularnya seperti Andainya Takdir, Keabadian Cinta dan Sedetik Lebih.

Anuar berkata, pemilihan lagu berdasarkan populariti lagu yang mudah dinyanyikan bersama penonton pada malam konsert itu nanti.

“Jika tiada aral, saya akan menyanyikan lima lagu popular termasuk lagu baru. Malah, dalam masa 30 minit persembahan itu saya mahu berinteraksi bersama peminat.

“Peminat yang hadir bukan saja melihat persembahan tapi boleh bernyanyi bersama-sama dengan saya,” katanya.

Anuar berkata, BCL juga akan membawa pemuzik sendiri seramai enam orang, manakala dia dan Yuka pula akan diiringi lapan pemuzik tempatan dan tiga penyanyi latar di bawah pengarah muzik, Sze Wan.

Konsert anjuran DTA Fashion Art Performance Sdn Bhd itu akan bermula jam 8.30 malam selama dua jam.

Tiket dijual pada harga RM1,599 (VIP), RM1,299 (Platinum), RM499 (Diamond), RM399 (Gold), RM299 (Silver), RM199 (Bronze) dan RM159 (Regular).


ANUAR Zain. FOTO Zunnur Al Shafiq

Lupakan masalah supaya lebih fokus

Tanpa berselindung, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini sering mengetepikan isu yang berlaku di sekelilingnya untuk mengelak fokusnya terganggu.

Katanya, penonton tidak perlu tahu jika berlaku sebarang perkara tidak diingini di belakang pentas.

“Jika ada masalah teknikal seperti lampu, audio atau muzik, saya tidak boleh menunjukkan wajah bimbang, sedih atau marah. Persembahan mesti diteruskan dan wajah kena sentiasa tenang dan ceria.

“Bagi saya, penonton adalah selebriti kerana tumpuan pada mereka yang datang beli tiket untuk menonton persembahan. Merekalah yang perlu kita fokus dan gembirakan,” katanya.

Disebabkan itu, setiap penyanyi yang membuat persembahan perlu menghormati penonton mereka.

Dalam pada itu, Anuar gembira single terbarunya, Cinta Takkan Berakhir yang juga kesinambungan lagu Andainya Takdir berjaya mendapat tempat dalam kalangan peminatnya.

Dia juga menyimpan impian menghasilkan album mengandungi lagu lama yang diberi nafas baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 2:56 AM