STACY beri fokus kepada single terbaru terlebih dahulu.
HM Digital

Stacy kini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kembali mewarnai industri muzik tanah air selepas berehat seketika selepas melahirkan anak pertama, Eshaal pada 17 Februari tahun lalu.

Stacy bakal berduet dengan suaminya, Akim Ahmad yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret dalam satu single tidak lama lagi.

Ia single duet pertama mereka sejak berkahwin pada 5 Februari 2016.

“Sebenarnya duet dengan Akim ini adalah antara yang ditunggu peminat. Ramai yang bertanyakan bila kami mahu berduet. Kami masih dalam proses mencari bahan dan lagu yang sesuai. Jika semuanya berjalan lancar, ia akan dilancarkan tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Stacy turut mempunyai perancangan mengeluarkan album penuh tetapi mahu memberi fokus kepada single terbaru yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini.

“Saya memilih mengeluarkan single dulu berbanding album. Jika semuanya berjalan lancar, lagu genre rancak berjudul Raja ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini. Namun, semua bergantung kepada pihak pengurusan.

“Sebenarnya perancangan menghasilkan single ciptaan mereka berdua ini bermula sejak tahun lalu. Kebetulan mereka ada menghasilkan demo untuk diperdengarkan dan saya menyukainya,” katanya.

Menurut Stacy, walaupun ramai penyanyi lebih memberi fokus terhadap penghasilan single, dia tetap dengan pendiriannya untuk menghasilkan album.

“Bagi saya, album adalah profil buat penyanyi. Saya percaya setiap penyanyi perlu ada album.

“Tidak kisahlah bagaimana sambutan terhadap album itu kerana saya percaya setiap penyanyi mempunyai pengikut tersendiri ,” katanya. - Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 7:06 AM