DATUK Seri Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. FOTO Ihsan Rozi Abdul Razak
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dibenarkan keluar hospital selepas selamat bersalin anak perempuan, Isnin lalu.

Menerusi perkongsian video pengurusnya, Rozi Abdul Razak, di laman Instagram miliknya, Siti kelihatan ceria dan sihat.

Dalam video berdurasi 44 saat itu, Siti turut merakamkan terima kasih kepada doktor dan semua jururawat bertugas yang sudah menjaganya sepanjang lima hari.

“Saya nak mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh kakitangan dan keluarga pusat perubatan Gleaneagles terutama kepada doktor, jururawat dan semua kakitangan yang terbabit membantu dan menjaga saya serta anak saya sepanjang di sini,” katanya.

Menerusi status yang sama, Rozi turut menyatakan kerjasama baik daripada pihak hospital adalah saat yang tidak mungkin dilupakan Siti dan ahli keluarga.

“Terima kasih, semoga khidmat, bakti dan jasa kalian dirahmati Allah. Selamat pulang buat ibu dan anakanda Comel Pipi Merah ke rumah.

“Berehat dan nikmatilah hari-hari bahagia kalian,” tulisnya.

Terdahulu, Siti memilih untuk berpantang selama 44 hari dan dibantu pihak Natalis Mother Care yang menyediakan perkhidmatan berpantang.

Untuk tempoh seminggu ini, bayi perempuan Siti dipanggil Fatimah Az-Zahra sebelum namanya diumumkan secara rasmi selepas hari ketujuh kelahiran.

Bayi perempuan itu adalah anak pertama Siti selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 5:50 PM