PRODUK minyak pelincir tiruan. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Azam Shah Yaacob dan Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aktiviti penjualan minyak pelincir atau minyak enjin tiruan bukan saja berlaku di bengkel membaiki dan pusat jual alat ganti kenderaan, sebaliknya dijual secara bebas di laman jual beli dalam talian.

Semakan mendapati, pelbagai jenis minyak kenderaan terutama minyak hitam semi sintetik serta sintetik penuh pelbagai jenama dijual dengan harga cukup murah.

Antaranya adalah minyak sintetik penuh yang hanya dijual RM90 bagi botol bersaiz empat liter sedangkan harga pasaran minyak asli berkenaan sekitar RM250 ke atas.

Manakala bagi minyak semi sintetik bersaiz empat liter pula, ada antaranya dijual pada harga serendah RM60 sedangkan harga pasaran sekitar RM150 ke atas.

Kebanyakan minyak itu diiklan sebagai minyak asli dan diberi jaminan oleh penjual, rata-ratanya individu perseorangan.

Antara alasan diberikan penjual adalah minyak berkenaan adalah bekalan lama. Malah, ada penjual tidak kedekut menawarkan botol percuma untuk pembelian lima botol ke atas.

Wartawan kemudian menghubungi beberapa pengiklan di laman jual beli berkenaan menerus panggilan telefon bagi membeli produk minyak pelincir itu.

Dalam perbualan berkenaan, penjual cuba meyakinkan wartawan bahawa produk minyak pelincir berkenaan diperoleh daripada pengedar sah di negara ini.

Lelaki yang dikenali sebagai Ben dan mengaku bekerja sebagai wakil jualan sebuah jenama minyak antarabangsa itu berkata, produk minyak yang dijualnya asli, namun oleh kerana ia stok lama, pengedar di negara ini menjual kepadanya dengan harga murah.

“Saya jual murah sebab dapat pun dengan harga murah. Semua minyak ini asli.

“Dalam bidang jualan, bila ada stok baru sampai, stok lama perlu dihabiskan. Jadi, pengedar terpaksa jual murah pada kami dan kami juga terpaksa jual murah kepada pelanggan,” katanya.


LAPORAN Harian Metro 22 Mac lalu.

Ketika ditanya mengenai kualiti serta jaminan minyak itu adalah asli, Ben berkata, dia sudah menjual banyak produk sedemikian kepada pelanggan perseorangan sejak beberapa tahun lalu selain turut membekal kepada bengkel membaiki kenderaan dalam jumlah yang banyak.

“Encik, minyak ini saya bukan jual biasa-biasa, saya pun sudah lama supply (bekal) pada bengkel membaiki kereta.

“Sampai sekarang belum lagi ada orang mengadu pada saya minyak ini ada masalah,” katanya.

Menurutnya lagi, bekalan minyak pelincir yang dijual mendapat permintaan tinggi dan juga bukan sentiasa ada. Kerana itu, ia dijual secara ‘siapa cepat, dia dapat’.

“Kalau encik tak mahu tak apa, stok terhad. Siapa cepat dia dapat. Lagipun, setiap masa ada saja orang telefon mahukan stok minyak ini.

“Kalau nak, boleh order (tempah) sekarang sementara stok masih ada. Kalau beli lima botol ke atas, kami akan berikan satu botol percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 4:59 AM