Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


MAJLIS akad nikah pasangan orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, 28 dan Safiyyah Tang Xie Li, 28, Sabtu lalu cukup istimewa apabila pengantin lelaki mempersembahkan bacaan lima surah menggunakan bahasa isyarat sebelum bernikah.

Muhammad Hawari berkata, bacaan surah itu adalah atas permintaan pasangannya.

“Alhamdulillah, saya berjaya menghafal surah berkenaan menggunakan bahasa isyarat dalam tempoh tiga bulan dengan bantuan seorang ustazah,” katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp di Seremban, hari ini.

Hawari dan Safiyyah disatukan dalam majlis pernikahan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.

Pada majlis itu, Hawari mempersembahkan bacaan lima surah iaitu al-Fatihah, tiga Qul dan al-Asr menggunakan bahasa isyarat, sebelum dinikahkan bapa angkat Safiyyah, Norakyairee Mohd Raus.

"Saya akan terus belajar mendekatkan diri dengan al-Quran dan menghafal lebih banyak ayat-ayat suci serta mengembangkan lagi teknik hafalan yang berkesan untuk golongan seperti saya. Semoga ianya membawa keberkatan dan keredhaan Allah," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Hawari berkata, dia mula mengenali Safiyyah sejak berusia 16 tahun ketika sama-sama bersekolah di sekolah pendidikan khas tetapi hubungan itu sekadar rakan sekolah.

"Kami bertemu semula kira-kira tujuh tahun lalu, sebelum berkawan secara serius. Kami membuat keputusan untuk berkahwin selepas mengikat pertunangan, pada tahun lalu.

"Saya bersyukur majlis perkahwinan yang dirancang berjalan lancar. Semuanya berkat bantuan keluarga, rakan dan Yayasan Pendidikan al-Quran Anak Istimewa (Yayasan Faqeh)," katanya.

Video majlis pernikahan pasangan istimewa itu menjadi tular di laman sosial Facebook sejak semalam, dengan mendapat tontonan dan disukai lebih 10,000 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 11:15 PM
MUHAMMAD Hawari dan Safiyyah ketika majlis akad nikah. FOTO ihsan Muhammad Hawari Hashim