ZARUL yakin bentuk badan menarik membolehkan dia pegang banyak karakter.
HM Digital

Bagi mereka yang bergelar selebriti, penampilan terutama di kaca TV tentunya amat penting.

Lebih-lebih lagi ada fakta mengatakan penampilan seseorang di TV akan nampak lebih besar berbanding di dunia nyata.

Bagi penyanyi dan pelakon, Zarul Husin, dia sendiri mengakui mula membina otot badan bagi mendapatkan penampilan terbaik di TV.

“Bukanlah tujuan saya untuk menunjuk-nunjuk atau terlalu berotot seperti masuk pertandingan bina badan. Cukuplah sekadar nampak elok di kaca TV,” katanya.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, itu juga adalah antara cara untuk dia ‘bersaing’ dengan pelakon generasi baru.

“Saya tahu pada usia 45 tahun, tentunya ada had untuk karakter yang akan ditawarkan.

“Jadi, kalau punya bentuk badan menarik saya dapat pegang karakter yang lebih pelbagai dan bersesuaian termasuk pegawai beruniform,” katanya.

Sehingga kini, vokalis Umbrella yang berusia 45 tahun ini masih menitikberatkan aktiviti kecergasan dan menjalani gaya hidup sihat selain ingin menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

“Saya bergiat aktif dalam aktiviti kecergasan sejak 2011. Saya mahu kongsikan dengan semua pada usia 45 tahun, kita perlu menjaga diri supaya dapat hidup dengan lebih sihat.

“Seperkara lagi, saya lebih sukakan penjagaan kesihatan secara semula jadi contohnya melalui pemakanan dan tidak menggunakan sebarang bahan kimia,” katanya.

Selain itu, Zarul berkongsi ilmu mengenai kecergasan yang juga mampu membantu untuk kelihatan awet muda.

“Saya akan cuba curi masa untuk berlari dan apa yang saya tahu, kalau berlari sekurang-kurangnya tiga kilometer mampu menegangkan kulit serta jadi awet muda,” katanya.

Terbaru, Zarul menjadi seorang daripada empat mentor di samping Siti Sarah, Tam Spider dan Misha Omar yang berentap dalam program Mentor Otai bermula 18 Mac ini di TV3.

Selain itu, dia juga baru saja hadir dengan single terbaru berjudul Remuk ciptaan sepenuhnya Aepul Drama Band. -Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 8:59 AM