ZIZAN teruja lebarkan bakat di seberang sebagai langkah baru kukuhkan kerjaya seni.
HM Digital

Tanyalah mana-mana pelakon di dalam dunia ini adakah mereka mahu dikenali di luar negara selain negara sendiri?

Jawapannya pasti ya. Begitu juga dengan pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak.

Sepanjang pembabitannya sebagai pelakon, Zizan sudah membintangi lebih 20 filem dan kebanyakannya memegang watak utama.

Menilai dari segi kredibiliti dan jumlah filem dibintangi, sudah tentu tiada masalah untuk bintang kelahiran Dungun, Terengganu ini mencuba nasib di negara jiran.

Baru-baru ini, Zizan dilamar membintangi sebuah filem Indonesia menggandingkannya dengan pengacara popular negara seberang itu, Raffi Ahmad.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Zizan nyata bersedia menjayakan filem itu sebaik mungkin.

Zizan berkata, dia bersyukur dengan rezeki yang datang dan filem terbabit adalah yang pertama dia bekerjasama dengan syarikat produksi dari sana.

“Bagaimanapun, tidak banyak perkara yang saya boleh kongsikan dengan peminat di sini kerana segala-galanya masih di peringkat awal. Judul filem itu juga belum boleh diberitahu.

“Saya yakin dengan projek ini kerana kami sudah mengikat perjanjian bersama. Saya berdoa supaya segalanya berjalan lancar seperti dirancang,” katanya.

Zizan berkata, penggambaran dijangka bermula dalam masa terdekat ini dan dia kini menanti pihak produksi memberikan tarikh.

“Saya memang tidak sabar untuk menjayakan filem terbabit. Ini kerana saya tahu akan memperoleh banyak pengalaman.

“Sebelum ini saya banyak mendengar cerita daripada rakan pelakon yang sudah mempunyai pengalaman bekerja dengan produksi dari Indonesia. Banyak juga ilmu baru yang mereka dapat.

“Jika boleh, saya mahu mendapatkan ilmu daripada mereka. Pada masa sama dapat juga bakat saya diketengahkan kepada peminat filem di sana,” katanya.

Ditanya bagaimana dia memperoleh tawaran itu, Zizan berkata, Raffi sendiri yang menghubunginya selepas diperkenalkan seorang rakan di sini.

Walaupun teruja dan sudah bersedia, Zizan agak bimbang dengan penerimaan peminat di sana terhadapnya.

“Saya tak tahu bagaimana penerimaan mereka terhadap saya. Bagaimanapun, saya tidak mahu ia menjadi penghalang untuk mengejar impian. Apa yang penting, saya dapat melebarkan bakat di sana.

“Secara peribadi, tawaran ini bukanlah soal mencari peminat semata-mata, tetapi langkah baru saya dalam mengukuhkan kerjaya seni.

“Saya juga ada kelompok peminat Indonesia di sini. Pastinya mereka akan menyambut baik usaha yang cuba dilakukan saya dan produksi filem terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, populariti Zizan di sini masih kukuh apabila dia muncul sebagai artis paling banyak pencalonan Top 5 dalam Anugerah MeleTop Era 2018 (AME2018) iaitu lima kategori yang akan berlangsung pada 8 April ini.

Lima kategori itu ialah Artis Lawak MeleTop, Bintang Filem MeleTop, Fesyen MeleTop, Grup/Duo MeleTop bersama SonaOne dan Filem MeleTop menerusi filem Abang Long Fadil 2. - Rudy Imran Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 6:25 AM