ADA baru tahu status perkahwinan tapi tetap mahu mencuba.
ADA baru tahu status perkahwinan tapi tetap mahu mencuba.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Pelakon dan penyanyi, Zarul Umbrella me­ngakui tindakannya yang tidak terbuka berbicara mengenai keluarga menimbulkan salah faham sehingga ada yang menganggap dia masih bujang.

Zarul, 45, atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin berkata, peminat lama sudah maklum mengenai statusnya sebagai suami dan bapa. Namun, ada segelintir peminat baru yang menganggap dia masih bujang.

“Bukan saya tidak memberitahu saya sudah berkeluarga, cuma saya tidak mahu terlalu berkongsi mengenai keluarga dengan khalayak,” katanya kepada RAP.

Menurutnya, ada juga peminat yang menghantar mesej di media sosial bertanya mengenai statusnya selepas dia membawa isteri ke Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32), baru-baru ini.

“Tidaklah terlalu ekstrem, tapi ada yang menghantar mesej dan memberitahu mereka baru tahu saya ini suami orang.

“Ada juga yang menulis di Twitter, walaupun tahu saya sudah ber­isteri tapi mereka masih mahu ‘mencuba nasib’. Saya anggap itu sebagai gurauan semata-mata dan tak ambil serius pun,” katanya.

Vokalis Umbrella itu juga menganggap ia sebagai rencah dalam perjalanan seorang anak seni sepertinya.

“Kalau tanya sama ada selesa atau tidak, kadang-kadang saya rasa tak selesa dengan mesej dan tulisan seperti itu di media sosial.

“Tapi, selesa atau tidak, ini adalah kerjaya sebagai anak seni dan saya reda,” katanya.

Perkahwinan Zarul Intan Nur Fathihah dikurniakan seorang anak, Puteri Ayu Nur Arisha yang kini berusia 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 6:14 AM